Terletak dalam persekitaran redup di pinggir Laut China Selatan, mengambil masa lebih sejam pemanduan dari Kuala Terengganu dan hanya beberapa minit dari bandar Kerteh untuk tiba di resort bertaraf empat bintang itu.
Ia berada dalam lingkungan Kampung Cacar, kawasan penempatan tradisional di pinggir pekan kecil yang kian membangun, kesan daripada limpahan pertumbuhan loji industri berasaskan minyak dan gas.

Sesuai dengan pilihan namanya, 'Qamar' yang membawa maksud bilik tidur atau tempat beradu, pengunjung boleh beristirehat dengan tenang dalam ruang yang luas dan selesa dengan ditemani persekitaran sunyi, selain desiran ombak dan hembusan bayu laut.

Qamar Paka pada awalnya terarah fokusnya kepada potensi pelanggan pengurusan dan petugas industri yang menyumbang kepada 80 peratus perolehannya, seiring dengan tuntutan pasaran dan keperluan waktu itu dan menjadi pengenalan kepada pekan kecil itu.

Resort tersebut yang merupakan salah satu rangkaian milik Kumpulan RHR Hospitality telah melalui proses penjenamaan semula selepas dinaik taraf dua tahun lalu dengan wajah lebih segar dan kontemporari. Ia kini berkembang bagi memenuhi keperluan semua segmen.

Dengan 75 kakitangan, kebanyakannya anak tempatan, resort itu kini diterajui oleh pengurus baharunya, Manan Abdul Manaf, lulusan diploma Pengurusan Hotel di Switzerland yang memulakan kerjaya di negara tersebut, sebelum kembali berkhidmat di rangkaian hotel-hotel antarabangsa di negara ini.

“Harapan saya adalah untuk mencorakkan resort ini sebagai yang terbaik di negeri ini dengan imej dan identiti tersendiri, menyumbang ke arah perkembangan industri pelancongan tempatan,”ujarnya.

Qamar Paka bukan hanya sesuai untuk berehat menghabiskan hari-hari percutian bersama keluarga atau urusan kerja dan perniagaan, tetapi juga untuk persidangan, mesyuarat, majlis-majlis keramaian termasuk perkahwinan dan akikah.
Ia menawarkan 50 bilik deluxe dengan balkoni peribadi dalam persekitaran taman. Dengan kadar bayaran RM330 satu malam, resort itu juga memiliki 16 chalet (RM390) serta sembilan unit suite (RM480) yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan perkhidmatan setaraf dengan status resort itu.

Di samping itu, terdapat enam dewan yang boleh menampung 10 hingga lebih 200 orang bagi mesyuarat kecil atau persidangan dengan kemudahan bertaraf antarbangsa.

Anda boleh membelai diri di jakuzi, mandi bersama keluarga di kolam renang yang berada di tengah jajaran bilik, atau berjalan beberapa langkah untuk bersantai di pantai persendirian sambil memancing atau mandi-manda atau merasai suasana pasar malam berhampiran resort.

Anda juga boleh menikmati sesi karaoke yang menyeronokkan, bersenam di pusat kecergasan dan kemudian menjamu selera dengan pelbagai hidangan tempatan dan barat di Gelombang Cafe yang sering menjadi sebutan.

Pada sebelah malamnya, anda boleh bersendirian atau bersama teman dalam tenang menikmati hidangan sambil dihiburkan oleh pasangan artis residennya, Mahathir Sekeria dan Nor Syuhada Hamzah.

Selain itu, Qamar Paka menawarkan pakej lawatan termasuk ke bandar raya Kuala Terengganu, Kemaman atau ke Air Terjun Cemerong, di samping khidmat pengangkutan ke loji-loji industri dan ke restoran-restoran makanan laut tempatan.

Terkenal dengan sajian makanannya terutama tradisional, ia turut menawarkan khidmat katering luar untuk majlis keramaian, syarikat, institusi dan sebagainya yang mengeratkan lagi hubungan resort itu dengan masyarakat setempat.