Thursday 18 March 2010

Perlis Perlu Jadi Destinasi Pilihan Pelancong Asing

KANGAR 17 Mac (Utusan) - Usaha perlu dilakukan bagi menjadikan Perlis sebagai destinasi pilihan pelancong asing dan bukan sekadar menjadi 'pintu masuk' untuk ke negara ini. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, rekod menunjukkan pelancong asing hanya menjadikan Perlis sebagai laluan untuk melancong ke beberapa negeri di utara Semenanjung. "Kita mendapati para pelancong asing masuk ke Perlis melalui Padang Besar (dari Thailand) menggunakan jalan darat (kereta dan kereta api). Mereka kemudian menuju ke negeri-negeri pilihan di utara Semenanjung. "Mereka (pelancong) menjadikan Perlis sebagai laluan sahaja untuk ke beberapa destinasi pelancongan seperti Pulau Langkawi, Perak dan Pulau Pinang," katanya. Beliau berkata demikian kepada para pemberita ketika melakukan tinjauan pelancongan ke Muzium Kota Kayang, Kuala Perlis di sini hari ini.

Sehubungan itu, Yen Yen meminta kerajaan negeri mencari jalan untuk menarik para pelancong asing supaya turut menjadikan Perlis sebagai antara lokasi pilihan utama ke Malaysia. ''Kita tidak mahu pelancong dari pelbagai negara hanya menjadikan Perlis sebagai pintu keluar masuk sahaja. ''Ini merugikan Perlis sendiri. Contohnya, sepanjang 2009, jumlah pelancong yang masuk melalui Padang Besar melebihi 383,000 berbanding lebih 365,000 orang pada 2008. "Adalah rugi bagi Perlis jika cuma digunakan oleh pelancong sebagai laluan sahaja. Setakat ini Perlis hanya mampu menarik pelancong domestik seramai 203,000 orang sepanjang 2008 kepada lebih 212,000 pada 2009," ujarnya.

Menyentuh Muzium Kota Kayang itu pula, beliau meminta kerajaan negeri berusaha menjadikannya lebih menarik selain menggalakkan syarikat pengangkutan awam seperti bas menyediakan perkhidmatan ke muzium itu. "Di muzium ini juga wajar diadakan pelbagai program yang boleh menarik minat pelancong, sama ada tempatan mahupun antarabangsa. Mungkin sesuai diadakan Saturday Museum Fair," ujar beliau.
http://www.perlis.gov.my/

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.