Thursday 2 November 2017

Kempen lawat Perak diperhebat

ZAMBRY ABD. KADIR menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Restoran Terbaik (Masakan India Muslim) sambil disaksikan oleh Nolee Ashilin Mohamed Radzi (dua dari kanan) dalam majlis Malam Anugerah Pelancongan Negeri Perak 2017 di Ipoh, malam semalam. Utusan/SYEFRY MONIZ

IPOH 1 Nov. - Kerajaan negeri akan mengambil dua pendekatan bagi merancakkan kempen Tahun Melawat Perak pada tahun depan dengan memfokuskan kepada penjenamaan ‘Ipoh City’ setaraf dengan bandar raya dunia selain memperkukuhkan kelebihan Perak sebagai destinasi ekopelancongan unggul di Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia ne­geri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, suasana seni dan budaya juga akan digabungkan sekali gus membawa satu kelainan terhadap persepsi yang bakal terhasil dari sudut mata pelancong untuk bandar raya ini.

“Kita mempunyai tarikan se­perti Jejak Warisan Ipoh, Dataran Dato’ Sagor, Tourism Riverside, Taman Rekreasi Gunung Lang, Gerbang Malam dan Pasar Karat selain mural seni, kafe hipster, seni bina kolonial, aktiviti berbasikal serta acara-acara seni dan sukan.

“Kerajaan negeri akan melibatkan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjenama­kan Ipoh City setara dengan bandar raya lain seperti Kuala Lumpur, Hong Kong, Shanghai dan New York,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Anugerah Pelancongan Perak Negeri Perak 2017 di sini malam tadi yang di­sempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sebanyak 32 anugerah diberikan sebagai tanda penghargaan khususnya kepada pemain industri yang telah menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, daripada tujuh kluster pelancongan negeri sedia ada, hampir semuanya memiliki produk-produk utama berteraskan ekopelancongan.

Lebih-lebih lagi katanya, pemilihan kluster Taiping-Larut Matang-Batu Kurau di bawah Pelan Eko Pelancongan Kebangsaan 2016-2025 membuktikan suatu keyakinan terhadap negeri Perak sebagai destinasi ekopelancongan antarabangsa.

“Keunikan ini ditambah pula dengan perakuan Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan, pembukaan semula Taman Alam Kinta sebagai hab diversiti burung selain Royal Belum yang tersenarai sebagai tentative listing untuk pengiktirafan Tapak Warisan Dunia sekali gus membuka peluang ke arah membangunkan pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.