Penganalisis MIDF Research, Noor Athila Mohd. Razali berkata, Malaysia masih merupakan negara yang menarik dari segi pelancongan perubatan dalam kalangan pengembara berban­ding negara jiran lain berikutan kedudukan ringgit yang kukuh ketika ini.

Beliau berkata, jumlah pe­ngem­bara perubatan dan pendapatan daripada pelancongan perubatan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) 14 peratus dan 22 peratus menjelang hujung tahun ini.

Katanya, operator hospital swasta telah pun meningkatkan sasaran kapasiti mereka bagi menampung kedatangan lebih ramai pelancong perubatan se­perti di Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru.

“Kami menjangkakan segmen pelancongan perubatan akan menyumbang peningkatan 10 peratus kepada pendapatan IHH Healthcare Bhd. (IHH) dan KPJ Healthcare Bhd. (KPJ) berbanding peningkatan sedia ada pada kadar lima peratus dalam tempoh akan datang,” katanya dalam nota kajian di sini baru-baru ini.

Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) mendapati permintaan yang semakin meningkat dalam kesihatan datangnya daripada negara-negara yang mempunyai kapasiti perbelanjaan tinggi selain memanfaatkan perkhidmatan perubatan berkualiti seperti onkologi, ortopedik, kardiologi dan kemandulan.

Menurut laman web Jurnal Pelancongan Perubatan Antarabangsa, pada tahun lalu, Malaysia merekodkan pendapatan sebanyak RM900 juta daripada pelancongan perubatan berban­ding RM777 juta tahun sebelumnya dan kerajaan membelanjakan RM20 juta setahun bagi mempromosi dan membangunkan sektor berkenaan.

Dalam pada itu, menurut Noor Athila, peningkatan dan pelbagai pilihan bagi polisi insurans perubatan dan kerjasama majikan dengan operator hospital swasta akan menggalakkan penggunaan perkhidmatan perubatan swasta.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung akan menyaksikan lebih banyak kerjasama awam dan swasta dalam tempoh sederhana berdasarkan permintaan yang semakin meningkat dan meningkatkan penyertaan baharu dalam kalangan pemain industri seperti TDM Bhd. (TDM) dan Oriental Holdings Bhd. (Oriental).

“Kami mengekalkan pandangan bahawa sebarang perubahan dan pembangunan demografi dalam pasaran melibatkan ope­rator hospital akan terus memberi petanda yang baik bagi sektor ini sepanjang 2016 dan 2017,” katanya.