Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, mereka perlu mematuhi undang-undang dan peraturan PBT bagi memastikan keselamatan tetamu masing-masing.
Beliau berkata, usahawan sedemikian tidak boleh dikecualikan dan mereka tidak bebas melakukan apa yang mereka mahu dengan hartanah mereka.
"Kami menasihati mereka supaya mematuhi keperluan kerajaan tempatan memandangkan keselamatan tetamu mereka paling diutamakan," katanya selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Dunia kali keempat di sini hari ini.
Laporan sebelum ini menyebut bahawa Pulau Pinang terpaksa menutup 200 rumah tumpangan tanpa lesen, sebahagian besar daripadanya memenangi rating tertinggi dan anugerah daripada laman web kembara terkemuka seperti Trip Advisor dan Booking.com.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pertubuhan Pelancongan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), Taleb Rifai yang menghadiri majlis perasmian itu turut mengetengahkan dua keperluan untuk dipatuhi pengusaha rumah tumpangan dan lojing tanpa lesen, memastikan semua pihak mendapat peluang yang sama rata untuk berjaya serta memenuhi standard minimum.
Beliau merujuk kepada keadaan tidak adil apabila terdapat pengusaha yang tidak membayar cukai dan yuran berbanding pengusaha hotel berlesen yang mematuhi keperluan PBT.
"Ya, semua produk pelancong mesti membawa manfaat kepada masyarakat setempat, bagaimanapun pengusaha perlu mematuhi peraturan bagi mewujudkan peluang yang sama rata," katanya.
Beliau berkata, mereka perlu mempunyai prosedur operasi standard minimun dari segi kebersihan, keselamatan dan aspek lain melibatkan tetamu mereka.
Taleb berkata, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa meningkat dengan pesat dan dijangka mencecah 1.8 bilion di seluruh dunia menjelang 2030.
"Dalam perkara berkaitan pengusaha tanpa lesen, mereka (pelancong) boleh menjadi pemberi maklumat berkaitan amalan tidak beretika dan kurang bertanggungjawab kepada audien dalam talian global," katanya.
-BERNAMA/utusan.