Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, aplikasi yang mempromosikan kepelbagaian jenis makanan di Kampung Baru itu mengandungi maklumat-maklumat asas berkaitan kemudahan serta pilihan lokasi restoran atau kedai makan terbaik di kawasan tersebut.

Kata Tengku Adnan, aplikasi itu juga membolehkan orang awam membuat penarafan mutu dan kualiti makanan yang terdapat di Kampung Baru.

“Aplikasi itu juga membantu pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) membuat penambahbaikkan dalam pelbagai aspek termasuklah kualiti makanan, kebersihan premis dan sebagainya,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Makanan Melayu Kampong Bharu di sini, semalam.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari.

Mengulas mengenai penganjuran festival tersebut, Tengku Adnan menyifatkannya sebagai mampu mempertingkatkan sosioekonomi penduduk Kampung Baru selaras dengan hasrat dan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera oleh pihak kementerian.
Beliau juga yakin sekiranya festival itu membawa hasil yang diharapkan, kerajaan akan meneruskannya pada tahun-tahun akan datang bagi menambah pendapatan peniaga dan penduduk setempat.

“Festival ini juga mampu me-ningkatkan lagi imej Kampung Baru. Saya berpendapat Kampung Baru mempunyai ramuan yang mencukupi untuk maju ke hadapan setanding dengan kawasan-kawasan lain di ibu negara,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Tengku Adnan mencadangkan supaya kawasan pintu gerbang Kampung Baru dijenamakan sebagai ‘The Gerbang’.

“Saya berharap penjenamaan semula kawasan ini akan terus menjadi daya penarik kepada pengunjung ke Kampung Baru,” katanya.