Tuesday 30 August 2016

Menu Hidangan Baharu Bagi Penumpang ETS Bermula Esok

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Penumpang-penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini berpeluang menikmati tujuh variasi menu baharu bermula esok.

Presiden KTMB Datuk Sarbini Tijan berkata menu itu bercirikan makanan Cina, India, Barat dan 'vegetarian' dan mampu menepati citarasa semua lapisan masyarakat.

"Tujuh menu yang ditawarkan ialah 'Assorted Dim Sum with Housin Sauce', 'Mee Goreng Mamak', 'Mini Idli with Dhall Curry', 'Fish Sweet Sour with rice', 'Yee Mee with Black Pepper Chicken', 'Stuffed Paratha with Dhall Curry and Tomato Chutney' dan 'Pasta Spaghetti Seafood Bolognaise'.

"Menu itu ditawarkan kepada penumpang dengan harga berpatutan dalam lebih 40 tren ETS bermula esok," katanya kepada pemberita selepas pelancaran variasi menu baharu KTMB ETS di sini, hari ini.

Beliau berkata koc bufet perkhidmatan tren ETS KTMB juga menerima sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lepas.

"KTMB kini menjadi operator perkhidmatan rel pertama di dunia yang menyediakan menu 'Dim Sum' Halal dalam tren," katanya.

Sebagai promosi pengenalan, KTMB menawarkan pakej kombo makanan dengan harga RM7 setiap set bagi tiga menu makanan baharu iaitu 'Assorted Dim Sum with Hoisin Sauce', 'Mini Idli with Dhall Curry' dan 'Mee Goreng Mamak' bermula esok sehingga 16 Sept.

Setiap pakej kombo makanan itu disertakan dengan air mineral dan ditawarkan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 dan Hari Malaysia.

Sarbini berkata pihaknya juga merancang untuk memperkenalkan tempahan awal menu makanan bagi perkhidmatan ETS secara dalam talian.

"Kami dalam proses perbincangan dan menjalankan ujian bagi menu dalam ETS terlebih dahulu. Sekiranya sambutan menggalakkan, kami akan melancarkan tempahan awal secara dalam talian kepada para penumpang," katanya.

-bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.