Monday 29 July 2019

Tak sangka menang RM70,000

Yahaya (empat dari kanan) bergambar bersama pemenang tempat pertama hingga ketiga Tourism Malaysia Surfcasting Tour A Journey To Visit Malaysia 2020 di Marina Island semalam.

LUMUT - Seorang pekerja kilang tidak menyangka minat memancing membawa tuah apabila dinobatkan juara dalam Tourism Malaysia Surfcasting Tour A Journey To Visit Malaysia 2020 yang berlangsung di Marina Island di sini semalam.

Hanizan Rahidin, 43, dari Parit Buntar, Perak tidak menyangka ikan bawal pinang seberat 2.70 kilogram yang mengena umpannya membolehkan dia membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM70,000.

Bagi Hanizan, kemenangannya itu memang tidak disangka-sangka kerana dia menyertai pertandingan memancing berkenaan sekadar untuk bersuka-ria dan meluangkan masa hujung minggu bersama rakan-rakan lain.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana perasaan saya, sampai sekarang saya masih terkejut, menggeletar kerana memenangi wang tunai RM70,000.

“Saya anggap ini rezeki kami sekeluarga dan saya akan gunakannya sebaik mungkin,” katanya kepada Sinar Harian selepas pertandingan berkenaan di Marina Island semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor yang turut hadir pada program berkenaan menyifatkan penganjuran Tourism Malaysia Surfcasting Tour A Journey To Visit Malaysia 2020 di Marina Island merupakan langkah bijak memandangkan ia membantu mempromosikan Lumut sebagai kawasan pelancongan secara tidak langsung.

“Sambutan juga sangat menggalakkan kerana menerusi penganjuran pertandingan peringkat kebangsaan ini ia disertai oleh peserta daripada pelbagai negeri. Ia turut membantu penduduk setempat menambah pendapatan dengan berniaga.

“Saya berharap Tourism Malaysia dapat menganjurkan lagi pertandingan seumpama ini di daerah Manjung pada masa akan datang untuk sama-sama membantu menjadikan daerah ini sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Bagi Naib Presiden Kelab Rekreasi Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Halim, pemilihan Marina Island sebagai salah satu daripada 10 lokasi pertandingan memancing di dalam negara ini adalah berdasarkan potensi yang terdapat di sini.

“Kami memilih lokasi yang berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi pelancongan domestik misalnya Marina Island.

“Ini kerana lokasi seperti ini tidak ramai yang tahu tentang kewujudannya sedangkan lokasinya sangat menarik dan mempunyai pelbagai kemudahan untuk pengunjung,” katanya.

Seramai 1,582 peserta dalam pelbagai negeri mengambil bahagian dalam Tourism Malaysia Surfcasting Tour A Journey To Visit Malaysia 2020 di Marina Island yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM130,000 kepada kaki pancing yang menyertainya.

Acara yang bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 2 petang turut memberi tuah kepada seorang nelayan dari Pulau Pangkor, Aswad Ali yang meraih tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM12,000.


Tempat ketiga pula dimenangi oleh anggota polis, Mohd Hafiz Othman 36, yang turut berkongsi cabaran beliau untuk menyertai pertandingan terbabit apabila motosikal dinaikinya pancit ketika dalam perjalanan ke Lumut dari Alor Setar, Kedah.
-Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.