Sunday 6 August 2017

Nafas Cube@MARDI tarikan baharu agropelancongan



Sektor agro pelancongan ketika semakin mendapat tempat dalam kalangan warga negara ini.

Lihat sahaja destinasi pelancongan agro yang dibangunkan oleh agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi berkaitan pertanian, mahu pun orang perseorangan.

Kesedaran masyarakat akan kepentingan keselamatan makanan, makanan sihat, organik, pertanian yang juga menjadi sebahagian daripada sumber perniagaan menjadikan sektor itu kian diminati.

Rata-rata ibu bapa juga semakin sedar akan kepentingan sektor itu dan mula mendedahkannya kepada anak-anak mereka dengan membawa mereka ke pusat-pusat agro pelancongan.

Menyedari potensinya itu yang kian meningkat, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) turut membangunkan kemudahan berupa tapak penginapan khas yang dikelilingi ladang-ladang produk penyelidikan berkaitan pertanian dan dusun di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor.

Menurut Timbalan Pengurus Besar (Perkhidmatan) Nafas, Mohamad Yazif Fadil penginapan istimewa tersebut dikenali sebagai Nafas Cube@MARDI.

Jelasnya penubuhan penginapan tersebut adalah cetusan idea Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sempena sambutan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 pada Disember tahun lalu. “Lokasi percutian dengan konsep seperti berada dalam hutan sememangnya menjadi pilihan buat mereka yang mahu suasana yang sedikit berbeza dan santai ketika bercuti.

“Di Nafas Cube@MARDI terdapat tiga jenis penginapan yang boleh dipilih oleh pelanggan iaitu penginapan jenis khemah, penginapan dalam tiub konkrit (culvert) dan penginapan dalam kontena,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, kemudahan penginapan sedemikian tidak banyak dibina di ibu kota, maka kewujudan Nafas Cube@MARDI sesuai bagi mereka yang sukakan konsep percutian santai dan pdalam masa yang sama tidak mahu bercuti terlalu jauh dari ibu negara.

Nafas Cube @ MARDI yang bercirikan agro pelancongan tersebut bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. 

Lokasinya pada masa yang sama turut terletak dalam kawasan ladang kajian MARDI menjanjikan pemandangan penuh kehijauan, sesuai buat pencinta alam semula jadi. Mereka yang berminat boleh layari laman Facebook mereka di www.facebook.com/nafascube/.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.