PETALING JAYA – Sabah yang terletak di utara pulau Borneo terkenal
sebagai syurga bagi pencinta burung kerana terdapat lebih daripada 600 spesis
burung unik dan sebahagiannya adalah spesies endemik iaitu hanya boleh ditemui
di Sabah.
Keistimewaan negeri di bawah bayu yang terletak pada kepelbagaian
habitat burung,dari pergunungan hutan ke hutan hujan tanah rendah hingga ke
kawasan paya menimbulkan minat yang mendalam kepada peminat burung untuk
melaksanakan aktiviti memerhati atau mencerap burung.
Menurut Sabah Tourism, aktiviti berkenaan bukan sahaja dikenali
sebagai satu hobi yang menyeronokkan, malah memberi peluang untuk peminatnya
lebih dekat dengan alam semula jadi.
Jelasnya, mereka yang berminat menyertai pelbagai aktiviti berkaitan
burung, boleh menghubungi badan-badan seperti Persatuan Pemerhati Burung Sabah
(Sabah Birdwatchers Association) atau Borneo Bird Club.
“Organisasi ini sering menganjurkan aktiviti berkumpulan, bengkel
dan program komuniti yang sesuai untuk pemula yang ingin mempelajari lebih
lanjut dan membina rangkaian bersama pakar tempatan.
“Melalui sokongan profesional dan komuniti yang aktif, pengalaman
memerhati burung anda di Sabah pasti akan menjadi lebih bermakna, selamat, dan
menyeronokkan.
“Yang paling penting, usah terburu-buru kerana memerhati burung
bukan sekadar menandakan spesies dalam senarai, tetapi mengajar kita untuk
menyayangi alam sekitar dan hidupan liar.
“Perjalanan itu sama pentingnya dengan destinasi, dan setiap detik
yang dihabiskan untuk memerhati, mendengar, dan belajar membawa anda lebih
dekat dengan keajaiban alam semula jadi,” katanya.
Selain itu, Tourism Sabah menjelaskan, Festival Burung Borneo yang
dianjurkan setiap tahun akan kembali berlangsung pada 25 hingga 26 Oktober 2025
di Rainforest Discovery Centre, Sandakan bakal memberi peluang kepada peminat
untuk menyertai acara berkenaan.
“Festival ini mengumpulkan peminat burung tempatan dan antarabangsa,
jurugambar, serta pejuang pemuliharaan dalam satu acara penuh semangat untuk
meraikan keindahan alam sekitar dan kepelbagaian burung di Sabah,” jelasnya.
Selain itu, badan tersebut memaklumkan beberapa tips bagi mereka
yang baru berjinak-jinak dalam bidang
berpotensi itu dengan memberi tumpuan
kepada spesies yang biasa dan mudah dikenali, seperti burung-burung yang sering
terlihat di taman, kebun, dan tepi jalan seperti burung merbah, burung kelicap,
dan burung raja udang.
Burung-burung ini biasanya berwarna-warni, mudah didengari, dan
senang dilihat, menjadikannya pilihan sesuai untuk pemula.
“Dengan mempelajari cara mengenal pasti burung-burung ini melalui
pandangan dan bunyi-bunyian, anda dapat membina asas kemahiran yang kukuh.
“Latihan ini membantu mata anda mengenali perbezaan halus pada warna
bulu, bentuk badan, dan tingkah laku serta melatih telinga untuk membezakan
panggilan dan nyanyian mereka yang unik.
“Lama-kelamaan, asas ini akan memberi anda keyakinan dan kemampuan
untuk meneroka hutan-hutan Sabah yang lebih
padat, yang mana burung-burungnya lebih sukar ditemui dan pengenalan
menjadi lebih mencabar,” ujarnya.
Aplikasi seperti Merlin Bird ID dan BirdNET sangat berguna
terutamanya bagi penggiat baharu kerana ia dilengkapi dengan fungsi pengenalan
suara yang membolehkan anda mengenal pasti spesies burung berdasarkan panggilan
yang tidak dikenali.
Penggunaan aplikasi secara konsisten, serta merakam sendiri suara
burung di sekitar dapat membantu meningkatkan lagi kepekaan pendengaran.
Sabah Tourism berkata, untuk memulakan hobi pemerhatian burung ini
tidak perlu peralatan yang mahal atau rumit, hanya sekadar sebuah teropong 8×42
yang berkualiti selain itu dipadankan lagi dengan panduan lapangan seperti
Field Guide to the Birds of Borneo oleh Quentin Phillipps.
Sementara itu, populariti aktiviti memerhati di negeri Sabah
menghimpunkan komuniti pemerhati burung yang aktif dan mesra, sentiasa bersedia
berkongsi ilmu serta minat mereka.
“Menyertai kumpulan pemerhati burung tempatan, sama ada melalui
WhatsApp, Telegram, Facebook atau kelab secara bersemuka, boleh membantu
kemahiran anda.
“Komuniti ini bukan sahaja memberikan sokongan, malah sering
berkongsi maklumat terkini mengenai penampakan burung dan menganjurkan aktiviti
berkumpulan yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga berinformasi.
“Bagi pemerhati burung yang ingin memulakan pengembaraan pertama di
Sabah, bolehlah menempah dengan agensi pelancongan berlesen yang menganjurkan
lawatan berpandu khususnya untuk pemerhati burung,” terangnya.
Agensi-agensi ini menyediakan pemandu pelancongan berpengalaman yang
memiliki pengetahuan mendalam mengenai lokasi terbaik, tingkah laku burung,
serta mampu menyesuaikan aktiviti mengikut tahap kemahiran peserta.
Selain itu, mereka juga boleh menguruskan keperluan logistik seperti
pengangkutan, permit, dan penginapan, membolehkan anda memberi tumpuan
sepenuhnya kepada aktiviti mencerap burung.
-KOSMO! Online.