Wednesday, 27 September 2017

Malaysia No.1 destinasi utama pengembara Muslim


KUALA LUMPUR 26 Sept. - Untuk tujuh tahun berturut-turut, Malaysia mengungguli kedudukan pertama destinasi utama bagi pengembara Muslim, berdasarkan Indeks Pengembaraan Muslim Sedunia (GMTI) 2017, Mastercard dan CrescentRating.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tahun lalu, Malaysia mengalu-alukan kedatangan lebih 5.5 juta pelancong Muslim.

“Orang Muslim seluruh dunia terus bertambah dan menjadi lebih berkemampuan, maka mereka menjadi kelompok pasaran yang boleh disasarkan.

“Untuk itu, kerajaan telah berusaha dengan bersungguh-dungguh untuk memaju dan menambah baik pasaran pelancongan Muslim di negara ini sehingga Malaysia sekali lagi menduduki tempat pertama destinasi disukai pengembara Muslim,” ujarnya pada Majlis Makan Malam dan Perbincangan Bisnes Malaysia-Jordan Dalam Sektor Pelancongan malam tadi.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Yean Yoke Heng. Turut hadir, Duta Jordan ke Malaysia, Thamer Adwan.

Menurut Mas Ermieyati, pada suku pertama tahun ini, perbelanjaan membeli-belah pelancong mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM5.4 bilion daripada keseluruhan pendapatan pelancongan berjumlah RM18 bilion.

Ini katanya, satu peningkatan sebanyak 6.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan kedudukan baik Malaysia sebagai destinasi membeli-belah dunia.

“Membeli-belah jelas menjadi penyumbang utama hasil pelancongan, yang menyumbang sebanyak RM26.03 bilion atau 31.7 peratus daripada hasil keseluruhan berjumlah RM82.01 bilion pada 2016.

“Pendapatan daripada aktiviti membeli-belah pelancong pada 2016 itu juga satu peningkatan sebanyak 20.3 peratus berbanding pada 2015,” tambahnya.

Sementara itu, Adwan dalam ucapan alu-aluannya berkata, Jordan sedang giat melabur dalam sektor pertanian, termasuk pembinaan hotel mewah, pusat spa, resort percutian, prasarana perubatan pelancongan dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Permaisuri Alia (QAIA).


“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan pelabur-pelabur Malaysia untuk datang ke Jordan dan melihat serta meneroka sendiri peluang pelaburan yang terbuka dalam sektor pelancongan kami,” tambahnya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment