Saturday 30 September 2017

Damai, tenang di Gunung Pulai

SUASANA santai di sekitar kawasan peranginan Gunung Pulai.

KULAI 28 Sept. - Kedinginan air jeram yang mengalir di kaki Gunung Pulai setinggi 654 meter terasa nyaman sekali.

Deruan air yang mengalir ke hilir kaki gunung disulami bunyi unggas berterbangan membuatkan hati menjadi begitu tenang.

Pengalaman mengunjungi Hutan Lipur Gunung Pulai, di sini baru-baru ini ternyata menggamit pe­ra­saan terutamanya bagi mereka yang ingin lari daripada kesibukan kota.

Terletak kira-kira 30 ki­lometer (km) dari Bandar raya Johor Bahru dan hanya 10 km dari susur keluar Plaza Tol Kulai, pengunjung akan melalui Kampung Sri Gunung Pulai yang menjadi ‘pintu masuk’ ke hutan lipur berkenaan.

Selain keindahan alam sekitar dan airnya yang jernih, hutan lipur ini menjadi tarikan bagi mereka yang gemarkan aktiviti sukan lasak terutamanya jungle tracking dan mendaki gunung.

Bagi mereka yang ingin bersantai pada cuti hujung minggu, ia adalah destinasi yang tidak memerlukan perbelanjaan besar untuk bersama-sama seisi keluarga.

Sudah puas melakukan akti­viti di dalam hutan lipur, pengunjung boleh mengelilingi Kampung Sri Gunung Pulai bagi merasai suasana desa.

Sama ada menaiki kenderaan sendiri atau berjalan kaki dan berbasikal, jangan lupa singgah bagi melihat perusahaan kecil sederhana (PKS) yang diusahakan penduduk kampung antaranya cendawan dan kerepek pisang.

Sekiranya cuaca panas terik, empangan dibina di hilir jeram pastinya akan menyejukkan su­hu badan bagi yang ingin berendam.

Andai ada yang ingin merasai suasana bermalam di kampung, pengunjung boleh menginap di chalet dan inap desa yang terdapat di kampung tersebut.

Janganlah malu untuk me­nyapa penduduk kampung yang ramah kerana sekiranya memerlukan sebarang bantuan, pasti­nya mereka akan memberikan pertolongan dengan seikhlas hati.

Apa yang pasti, pengalaman dan hospitaliti yang akan dirasai pengunjung yang pernah datang ke sini pastinya tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Bagi pengunjung yang ingin bermalam di Gunung Pulai, D’ Cabin Chalet Gunung Pulai yang diusahakan Koperasi Sri Sekawan Kulaijaya Berhad dan beroperasi sejak awal tahun lalu pastinya menjanjikan kelainan.

Pengurus koperasi, Mohd. Razi Razak berkata, chalet tersebut dibina dua tahun lalu selepas mendapat per­untukan RM1.3 juta menerusi Program Desa Les­tari daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Terdapat 20 chalet termasuk sebuah berstatus VIP yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti katil, bilik air dan pendingin hawa.

“Chalet tersebut terletak di beberapa lo­kasi berbeza di atas tanah penduduk yang juga ah­li koperasi seperti di tepi sungai, kebun dan dusun buah-buahan.

“Bagi pakej ini tiga hari dua malam, pelanggan akan merasai pengalaman berbasikal mengeli­lingi kampung, mengadakan BBQ dan lawatan ke ladang nanas, madu kelulut dan industri kecil sederhana (IKS) cen­dawan.

“Bagi pakej dua hari satu malam pula tidak disediakan aktiviti lawatan ke­rana waktu yang terhad. Namun mereka masih boleh me­lakukan aktiviti lain seperti jungle tracking mahupun berjalan ka­ki ke kawasan air terjun yang hanya mengambil masa 10 minit” kata­nya kepada Utu­san Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Mohd. Razi, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan bukan sahaja daripada pengunjung dan pelancong luar, malah daripada agensi kerajaan dan swasta serta sekolah.

Justeru, pihaknya turut menyediakan 20 buah khemah ke­rana turut menjadi pilihan bagi penganjuran kem motivasi dan bina semangat.

Pengunjung yang ingin me­nginap di calet ini boleh menghubungi 016-7748083 dan 017-769 9476.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.