Thursday 9 May 2019

Sani Ferry beroperasi Disember


KUALA TERENGGANU 1 Mei – Syarikat pengangkutan bas Sani Ekspres akan menerokai perniagaan baharu apabila melabur RM50 juta untuk membangunkan perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi.

Pengasasnya, Datuk Sani Salleh berkata, Sani Ferry yang bakal beroperasi pada Disember depan dijangka dapat menampung seramai 660 penumpang dalam satu-satu masa menerusi perkhidmatan tiga buah feri yang disediakan.

Katanya, pelaburan terbaharu itu termasuk kerja-kerja menambah baik dan mengindahkan infrastruktur di terminal Kuala Kedah.

"Keperluan feri di Kuala Kedah sangat tinggi dan dengan adanya Sani Ferry orang ramai tidak perlu menunggu lama untuk ke Pulau Langkawi kerana waktu perjalanan feri akan diselaraskan dengan ketibaan bas.

“Tambang Sani Ferry adalah RM23 sama seperti per­khidmatan sedia ada dan penumpang yang mengambil pakej bas, Sani Ekspress akan menikmati tawaran diskaun,” katanya selepas pelancaran Hentian Bas Marang yang disempurnakan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di sini baru-baru ini.

Menurut Sani, perniagaan baharu itu dijangka melonjakkan pendapatan syarikat kepada RM50 juta pada akhir tahun ini termasuk dengan pertambahan 15 lagi bas ekspres pada Oktober depan.

Katanya, ketika ini terdapat 50 buah bas Sani Ekspress ber­ope­rasi di laluan pantai Timur dan Utara di samping turut memiliki terminal bas di Meru, Klang, hotel di ibu kota Kuala Lumpur.

Beliau berkata, bagi mengukuhkan lagi kedudukan syarikat, pihaknya turut merancang untuk membangunkan hotel di Pulau Langkawi dalam tempoh dua tahun lagi.

“Hotel yang akan dibina di pekan Kuah itu bakal menjadi hotel tertinggi di Pulau Langkawi dengan kemudahan seba­nyak 1,000 buah bilik,” kata beliau lagi.
-utusan online.
https://sanitravel.com.my

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.