Wednesday, 20 February 2019

Tourism Malaysia fokus potensi pelancongan baharu di Indonesia


TASIKMALAYA (JAWA BARAT), 20 Feb (Bernama) -- Tourism Malaysia di Indonesia yang mencapai sasaran 3.4 juta pelancong negara itu ke Malaysia pada 2018, kini memfokuskan peluang-peluang baharu di kabupaten atau daerah-daerah baharu di Indonesia.

Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia, Roslan Othman berkata kerjasama bersama pemerintah wilayah dan daerah dilihat akan merancakkan lagi industri pelancongan demi kepentingan dan manfaat bersama.

"Kabupaten Tasikmalaya misalnya, masih ramai pelancong Malaysia yang tidak mengetahui kawasan ini yang turut menawarkan aktiviti pelancongan yang menarik untuk rakyat Malaysia.

"Selain itu, kerjasama ini juga membuka peluang kepada ejen-ejen pelancongan kita untuk menarik pelancong dari sini ke Malaysia yang kami sasarkan melebih 3.4 juta untuk tahun 2019," katanya kepada Bernama pada Majlis ‘Malaysia-Indonesia: Tourism Gathering Tasikmalaya/Cirebon’ di sini yang disertai lebih 30 ejen pelancongan dari Malaysia dan ejen pelancongan Tasikmalaya.

Wakil Walikota Tasikmalaya, Dr H. Muhammad Yusuf berkata Tasikmalaya yang terletak kira-kira 75km dari Bandung, ternyata masih belum popular dalam kalangan pelancong luar, termasuk dari Malaysia.

"Sedangkan banyak produk kraftangan, lukisan, batik, yang dijual dan dibeli pelancong luar di Bandung adalah berasal dari Tasikmalaya.

"Pelancong juga hanya melewati (melalui) Tasikmalaya untuk ke Yogyakarta. Justeru, perancangan kami kini bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk menarik lebih ramai pelancong ke sini," katanya.

Kota Tasikmalaya yang mempunyai hampir 1 juta penduduk itu terkenal dengan kraftangannya yang menarik seperti payung Geulis yang menjadi ikon Jawa Barat, barangan kulit, batik serta keindahan alam semula jadi seperti tasik Situ Gede dan Gunung Galunggung.

"Kota Tasikmalaya ini tidak jauh dari Bandung tapi perjalanan dengan kenderaan ke sini mengambil masa melebihi tiga jam atas faktor jalan rayanya yang berliku dan mendaki kawasan tanah tinggi.

"Perancangan kami adalah untuk menaik taraf jalan raya dari Bandung ke Tasikmalaya mulai tahun ini, selain menaik taraf lapangan terbang di Tasikmalaya menjelang tahun 2022, bagi membolehkan penerbangan antarabangsa diadakan ke sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ATS Global Travel & Charter Sdn Bhd Azizie Othman, syarikat yang menguruskan pakej dan tiket pesawat umrah ke Tanah Suci, berkata mereka berjaya menguruskan lebih 10,000 jemaah Indonesia sepanjang tahun lepas.

"Tahun lepas kami menguruskan sebanyak 28,000 jemaah umrah, 10,000 adalah dari Indonesia. Ramai pelanggan kami adalah dari Jakarta, Pekan Baru, Padang, Medan, Surabaya dan Bandung," katanya.

Beliau berkata terdapat 1,000 pesantren atau pondok agama di Tasikmalaya dan syarikat mereka melihat potensi besar untuk menguruskan jemaah umrah dari Tasikmalaya ke Tanah Suci.

"Indonesia berpenduduk melebihi 260 juta orang, ramai kalangan mereka mahu dan berminat menggunakan perkhidmatan ejen-ejen di Malaysia untuk ke Tanah Suci atas faktor perkhidmatan yang lebih baik, selain kekangan tertentu di sini seperti jumlah pesawat yang tidak mencukupi dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Datuk Sahariman Hamdan berkata program Tourism Gathering itu akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam industri pelancongan.

"Menerusi program ini kami dapat mendekatkan lagi ejen-ejen pelancongan setempat dengan ejen-ejen di Malaysia, jadi mereka yang mahu berurusan tidak perlu lagi menggunakan pihak ketiga, terus berurusan dengan ejen yang menguruskan pakej-pakej pelancongan secara terus," katanya.
-Bernama.

1 comment: