Sunday 3 February 2019

Rehatkan diri, minda di Bangi Resort Hotel


Tidak perlu pergi jauh untuk lari seketika daripada hiruk pikuk kota sambil menikmati panorama hijau bagi merehatkan diri dan minda. Pergi sahaja ke Bangi Resort Hotel yang terletak di puncak tertinggi Bandar Baru Bangi.

Hotel berbentuk vila ala Sepanyol ini hanya kira-kira 20 minit dari Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan dan merupakan destinasi menarik kerana masih mengekalkan persekitaran yang hijau dengan pelbagai tumbuhan selain hamparan padang golf 27 lubang.

Walaupun pembangunan perniagaan dan perumahan semakin pesat di sekeliling kawasan hotel itu, kehijauan landskap hotel ini tidak terusik meskipun telah beroperasi sejak 1997.

Sebelum ini, Bangi Resort Hotel beroperasi sebagai Hotel Bangi-Putrajaya bermula 2014 dan sebagai Hotel Equatorial Bangi-Putrajaya sejak 1997 justeru hotel ini tidak asing dalam industri perhotelan yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan terbaik sama ada kepada penginap dan pengunjung ataupun untuk urusan perniagaan.

Pada 1 Januari lalu sejajar penjenamaan semula dalam usaha menambah baik ketrampilan operasi perniagaan, hotel yang mempunyai 256 bilik tetamu turut melakukan pengubahsuaian bilik-bilik terbabit sejajar dengan peredaran zaman.

Demi memenuhi cita rasa pelanggan yang pelbagai, hotel ini giat menghias semula bilik dengan konsep kontemporari namun masih ada bilik yang mengekalkan konsep klasik, juga atas permintaan pelanggan,’’ kata Pengarah Perkhidmatan Makanan dan Minuman, Muhamed Aman Rehan.

Malah untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, Bangi Resort Hotel akan membina bangunan baharu yang menempatkan kira-kira 400 bilik tetamu dalam tempoh lima tahun ini.

Jika disebut tentang hidangan bufet, Bangi Resort Hotel merupakan destinasi popular dalam kalangan warga Lembah Kelang terutama pada hari Ahad melalui hidangan antarabangsa iaitu masakan Jepun, Barat dan masakan tempatan dengan harga yang sangat berpatutan.

“Oleh kerana hidangan bufet pada hari minggu mendapat permintaan tinggi, pengunjung perlu membuat tempahan awal untuk memperoleh tempat di restoran kami, Funtasia,’’ kata Muhamed Aman.

Selain Funtasia, hotel ini turut mempunyai empat restoran lain iaitu Harmoni yang menyediakan hidangan gabungan makanan Cina, Melayu, Nyonya dan Thailand, restoran masakan Jepun, Kazumi, Tee Off Lounge dan Lavista Xpress, sebuah kafe ala deli bagi mereka yang gemar makanan ringan.

Pengunjung beragama Islam tidak perlu ragu-ragu tentang status halal makanan di hotel ini kerana telah mendapat pengiktirafan halal daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Penyediaan dan bahan sajian di dapur utama, dapur Melayu, dapur sejuk, dapur pastri, dapur pemotongan dan dapur restoran Harmoni mempunyai pensijilan halal pihak berkuasa agama terbabit manakala pihak hotel turut mempunyai Jawatankuasa Halal diketuai oleh Pengurus Restoran dan Minuman, Md. Saifuddin Shamsudeen.

Selain bilik tetamu, Bangi Resort Hotel juga mempunyai kemudahan konvensyen untuk sebarang majlis dan upacara keraian dengan Grand Ballroom yang boleh memuatkan sebanyak 750 tetamu. Majlis perkahwinan di taman atau garden wedding di hotel ini juga amat popular malah pakej menarik untuk bakal `Raja Sehari’ turut disediakan antaranya, perkahwinan ala barat, Melayu dan Cina.

Kemudahan lain yang terdapat di hotel ini antaranya ialah gimnasium, kolam renang yang luas termasuk dua kolam untuk kanak-kanak, tempat permainan kanak-kanak funland, gelanggang tenis, salun kecantikan serta pengangkutan harian ke Kuala Lumpur, pusat beli belah dan tempat-tempat tarikan pelancong yang berdekatan.

Bangi Resort Hotel juga sedang giat mengusahakan projek Bangi Farm Resort dalam kawasan premisnya dengan menanam 200 pokok durian Musang King, 500 pokok buah tin, 50 pokok avakado selain ulam-ulaman seperti ulam raja, bunga telang yang sebahagiannya telah digunakan untuk bahan menghasilkan atau melengkapkan resipi masakan atau minuman.


Bagi pengunjung yang ingin menginap di Bangi Resort Hotel atau mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web www.bangiresorthotel.com atau emel @bangiresorthotel.com atau hubungi 03-8210 2222.
-utusan online.
http://www.bangiresorthotel.com

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.