Tuesday 22 January 2019

Malam romantis si kaki pancing

PEMANDANGAN Hotel D’Ocean di Marina Island Pangkor.

LAZIMNYA, kaki pancing akan berdepan dilema untuk melunaskan obsesi mereka. Manakan tidak, kebanyakan mereka sudah berkeluarga manakala aktiviti memancing pula pastinya tidak menjadi pilihan kebanyakan isteri.

Memahami dilema tersebut, Rockbund Fishing Chalet (Rockbund) menawarkan pengalaman melancong yang sempurna buat para kaki pancing yang sudah berkeluarga.

Terletak di pinggir pulau buatan manusia, Marina Island Pangkor (Marina Island), di Lumut, Perak, Rockbund menyediakan 21 kabin kontena yang sengaja disusun berdekatan laut agar bayu segar sentiasa menemani pengunjung yang menginap. Lebih menarik, dok memancing turut disediakan hanya beberapa meter jaraknya dengan pintu masuk kabin.

Namun, itu bukan kemuncaknya. Pengalaman terbaik bagi penginap terletak di sebuah pelantar atas laut yang dihias indah dengan tema cinta.

D’Pine Cafe adalah tarikan utama Rockbund. Makan malam di atas pelantar ini menggabungkan tiga perkara paling romantis dalam dunia - pemandangan matahari tenggelam, bayu dingin laut serta suasana malam yang tenang dan mengasyikkan.

Rockbund merupakan salah satu produk pelancongan Marina Island, pulau buatan manusia berkeluasan 316.9 ekar di Pantai Teluk Muroh yang mula dibina sejak tahun 2002.

Baru-baru Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia membawa rombongan media massa bercuti di Marina Island selama dua hari tiga malam.

Boleh disimpulkan, Marina Island adalah lokasi percutian yang sempurna buat mereka yang sudah berkeluarga.

Aktiviti yang ditawarkan bukan sahaja sesuai untuk golongan dewasa, malah sangat sesuai untuk kanak-kanak yang mahukan pengalaman bercuti yang menyeronokkan dan dalam masa yang sama memberi ilmu pengetahuan.

Kanak-kanak pasti teruja memberi makan ikan kerapu gergasi, mentjanting batik serta belajar ilmu kemandirian seperti membina rakit. Pengalaman ini pastinya tidak dapat diperolehi di pusat pelancongan biasa.

Frenzy Hippo Waterpark, taman tema air terbesar!
Perlu akui, Frenzy Hippo Waterpark adalah tarikan terbaik Marina Island. Bayangkan, taman permainan terapung bersaiz 24 gelanggang badminton dibentangkan di atas laut yang tenang tidak berombak.

Soal keselamatan, jangan risau. Pihak Marina Island menyediakan tidak kurang lima orang ‘paskal’ untuk anda. Para ‘paskal’ ini akan menjaga keselamatan anda selain daripada jaket keselamatan yang disediakan untuk semua pengunjung.

Frenzy Hippo Waterpark boleh dianggap seperti permainan Ninja Warrior, cuma darjah kesukarannya jauh lebih rendah. Tetapi, jangan anggap ia mudah. Tahap rendah pun, saya tetap bergelut nak selesaikan semua cabaran! Cuma kalau anda rasa anda sehebat Mat Redho, bolehlah cuba.

Bagi yang tidak berminat dengan permainan ala Ninja Warrior ini, anda boleh mengisi masa dengan berkayak di sekitar tempat permainan.

Berlayar bersama Rod, si Viking yang lucu
TIDAK cukup dengan pelbagai aktiviti di dalam, mereka juga dibawa keluar dari Marina Island menaiki kapal layar jenis Catamaran milik seorang warga Australia berketurunan Viking, Rod Featherstone, 63.

Dia yang sudah mula berlayar sejak tiga tahun lalu menjadikan khidmat membawa pelancong berlayar ke sekeliling Pulau Pangkor sebagai punca pendapatannya di sini.

Featherstone mempunyai banyak pengalaman hasil aktiviti pelayarannya. Berdasarkan kata-katanya, Featherstone dan isteri dikejar biawak komodo di Pulau Komodo, Indonesia serta keindahan Kepulauan Anambas, gugusan pulau yang terletak di antara Semenanjung Malaysia dengan Kepulauan Borneo.

Kata Featherstone lagi, Anambas adalah kawasan paling indah pernah diterokanya bersama kapal layarnya yang diberi nama Psycho Pussy. Kurangnya pelancong yang berjaya sampai ke situ menyebabkan kawasan itu tidak tercemar dan masih terpelihara gaya hidup serta budaya penduduknya.

“Berlayar ini 70 peratus membosankan, 25 peratus menarik dan lima peratus menakutkan!” kata nya disambut gelak ketawa kami yang memecahkan hening petang di Pangkor.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.