Thursday 9 December 2010

Langkawi perlu idea baru - PM

LANGKAWI 8 Dis. - Langkawi memerlukan idea pembangunan baru dalam usaha untuk memastikan ia terus muncul sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata, pulau legenda sumpahan Mahsuri ini mempunyai begitu banyak potensi yang boleh ditawarkan untuk menarik kedatangan pelancong. "Kita mahu pembangunan baru, oleh itu kita perlu dorongan baru. Konsep pembangunan yang dirancangkan ini mesti mesra alam dan mengekalkan suasana semula jadi yang terdapat di pulau ini," katanya.
Katanya, kerajaan sememangnya komited untuk terus membangunkan pulau peranginan ini sebagai destinasi pelancongan unggul selaras dengan usaha menyemarakkan industri itu yang mampu menjadi penjana ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Pelan Pembangunan Teluk Datai di sini hari ini. Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Tan Sri Azman Mokhtar.
Pada majlis itu, Khazanah melancarkan Pelan Pembangunan Teluk Datai yang membabitkan pembangunan dan penambahbaikan aset Teluk Datai Resorts Sdn. Bhd. (Teluk Datai Resorts), dengan modal pelaburan mencecah RM1 bilion.

Menurut Najib, projek pembangunan itu dijangka menjadi satu titik tolak kepada usaha melonjakkan imej Langkawi sebagai sebuah lokasi pelancongan unggul di mata dunia. Perdana Menteri berkata, dalam menjayakan proses pembangunan, ia juga perlu menghasilkan nilai kepada negara seperti usaha sama dengan syarikat-syarikat tempatan. "Fasa pembangunan bukan hanya untuk Teluk Datai sahaja tetapi untuk Langkawi secara keseluruhannya. Banyak orang berkata Langkawi telah ketinggalan selepas era Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata majlis hari ini merupakan pengumuman mengenai projek empat dalam satu dengan pembangunan villa membabitkan 14 unit sebagai projek utama. "Keduanya, adalah bagi membina hotel baru, 300 bilik hotel. "Ketiga, untuk meningkatkan pasaran hotel lima bintang kepada enam bintang. Dan akhir sekali, ialah pembangunan semula padang golf Datai kepada standard antarabangsa," katanya. Beliau berkata, pelan pembangunan ini merupakan perkongsian yang baik antara syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta bagi menghasilkan nilai kepada projek itu dan negara.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.