Saturday, 13 April 2019

Warga emas menang RM70,000

RM70,000 milik Mat Dahab Ismail yang tampil juara Pertandingan Memancing Tourism Malaysia di Pantai Bisikan Bayu Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN ONLINE/Torek Sulong

PASIR PUTEH 13 April - Warga emas dari Kota Bharu, Mat Dahab Ismail, 64, menjadi juara Pertandingan Memancing Tourism Malaysia Surfacasting Tour: A Jurney To Visit Malaysia 2020 bagi pusingan kedua di Pantai Bisikan Bayu Semerak, dekat sini, hari ini.

Ikan pari seberat 8.27 kilogram (kg) dinaikkannya membolehkan Mat Dahab membawa pulang wang tunai RM70,000 yang disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaaan, Warisan dan Pelancongan Negeri, Datuk Hassan Mahmood.

Mat Dahab berjaya mendaratkan ikan dari spesies Whiptail Stingray pada pukul 9.12 pagi yang merupakan rezeki paling bernilai sepanjang lebih 30 tahun dia memancing ikan.

Pelepasan acara memancing pada pukul 8.30 pagi disempurnakan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Abd. Pattah Hasbullah.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Zurina Abd. Samad dan Pengarah Tourism Kelantan, Hafiz Hazim.

Pemenang kedua ialah Rohaizat Ridwan, 47, dari Bukit Rambai, Melaka yang menerima wang tunai RM12, 000 dan tempat ketiga dimenangi Muhammad Ridwan Abd. Aziz, 26, dari Pasir Puteh, Kelantan, dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Seramai 1,570 kaki pancing seluruh negara menyertai pertandingan memancing yang menyediakan sejumlah RM132,750 hadiah berbentuk barangan dan wang tunai.

Zurina ketika ditemui berkata, program berkenaan bertujuan memperkenalkan lokasi pantai menarik seluruh negara untuk dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

Menurutnya, siri jelajah pantai turut memberi impak ekonomi kepada pengusaha chalet dan peniaga tempatan.

“Kita menyasarkan sejumlah 30 juta pelancong yang akan memberi hasil pendapatan berjumlah RM100 bilion pada 2020.


“Pada tahun ini kita menyasarkan kehadiran pelancong dari Asia Tenggara seramai 28.1 juta dengan hasil pendapatan berjumlah RM90.2 bilion,” katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment