Saturday 20 November 2010

12 pelancong Singapura sertai ibadah korban

KUALA LIPIS 19 Nov. - Seramai 12 pelancong dari Singapura menunaikan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha ketika menyertai Program Inap Desa di Kampung Kuala Medang di sini semalam. Pelancong berkenaan terdiri daripada ahli Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) yang mengadakan lawatan selama tiga hari dan menyambut Aidiladha bersama keluarga angkat masing-masing di Kuala Medang. Acara korban membabitkan sebanyak tiga ekor lembu dilakukan oleh Imam Masjid Kuala Medang, Hassan @ Ismail Mat Sam. Daging korban tersebut kemudian diagihkan kepada golongan asnaf dan 40 keluarga Orang Asli Islam di Kampung Pantos, Jelai yang dilakukan sendiri oleh ahli-ahli Pergas dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kampung tersebut.

Ketua rombongan Pergas, Zubaidah Abdullah, berkata, ibadah itu sebagai tanda syukur serta memeriahkan sambutan Aidiladha bersama penduduk di pedalaman Hulu Jelai dekat sini. Menurutnya, persatuan itu melaksanakan acara korban membabitkan 5,000 kambing sempena hari pertama Aidiladha di Masjid al-Falah dan Madrasah al-Junid, di Singapura. Zubaidah berkata, cawangan Pergas di China, India, Indonesia, Mesir, Myanmar dan Australia juga mengadakan ibadah yang sama di samping turut berperanan mengembangkan syiar Islam.

Rakannya, Arhiari Ali, 62, berkata, pemilihan Kuala Medang dibuat kerana sebelum ini kumpulan masyarakat Islam Singapura pernah beberapa kali singgah di situ. "Kita tertarik dengan cara hidup masyarakat Melayu dan Orang Asli Islam di sini yang sangat bermuafakat dan kaya dengan budi bahasa khususnya menghormati tetamu luar," katanya. Ahli rombongan Pergas, Rohana Abd. Rahim, 42, berkata, ibadah korban menunjukkan Islam tidak membezakan kaum, darjat dan taraf kehidupan antara penduduk Islam Singapura dan masyarakat Melayu tradisional di Kuala Medang. "Kita bersyukur dan penuh keinsafan kerana dapat mengagihkan daging korban kepada golongan asnaf di sini termasuk menziarahi 40 keluarga Orang Asli Islam untuk menyumbangkan barang makanan," katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abd. Razak berkata, pelancong asing sering singgah ke kampung tersebut untuk program Inap Desa terutama pada musim perayaan. "Kami pernah menerima kunjungan pelancong dari Sweden, Korea, Jepun, United Kingdom dan Scandinavia untuk melihat masyarakat Melayu di sini berhari raya di samping menikmati keindahan alam sekitar Hulu Jelai," katanya. Beliau menambah, sehingga kini, sejumlah hampir 4,000 pelancong termasuk pelajar dari Singapura menyertai Program Inap Desa di situ ketika musim cuti persekolahan dan sambutan hari raya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.