Thursday 15 March 2012

Pelan induk tarik pelancong ke Bakun

BELAGA 14 Mac - Satu pelan induk bakal dirangka untuk membangunkan kawasan Empangan Hidro Elektrik Bakun (Empangan Bakun) sebagai pusat pelancongan tasik yang mampu menjadi tarikan utama pelawat dan pelancong asing di negeri ini.

Menteri Pelancongan negeri, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, pelan induk berkenaan yang akan dirangka oleh kerajaan negeri melalui syarikat konsultan dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan. Menurutnya, pelan berkenaan bakal mengetengahkan potensi serta destinasi pelancongan yang terdapat di sekitar Empangan Bakun yang kaya dengan keindahan flora dan faunanya kepada orang ramai.

"Ia turut mengemukakan saranan serta cadangan bagi membantu masyarakat Orang Ulu daripada 15 buah rumah panjang di Sungai Asap dalam memajukan industri kraf tangan. "Selain itu, kita juga akan mencari jalan untuk memajukan program inap desa seperti yang terdapat di Uma Belor Leo Dian sekarang ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengikuti taklimat oleh Sarawak Hidro Sdn. Bhd. dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Dewan Makan Matahari Bakun Resort di sini, baru-baru ini.

Mengulas berkenaan pelan itu, Johari berkata, ia mengandungi perancangan idea yang cukup komprehensif mencakupi pelbagai aspek untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk di sekitar empangan berkenaan. Di samping, itu katanya, ia tidak memberi manfaat kepada industri pelancongan semata-mata, sebaliknya mampu menarik penglibatan masyarakat setempat untuk turut serta dalam kegiatan ekonomi. "Jika pelan itu telah siap dan berjaya dilaksanakan, tidak mustahil hasrat kita untuk membangunkan Empangan Bakun sebagai antara pusat pelancongan tasik bertaraf antarabangsa akan tercapai suatu hari nanti," katanya.

Sementara itu, Johari menjelaskan, terdapat empat faktor yang membolehkan kawasan empangan berkenaan dibangunkan menjadi destinasi utama pelancong iaitu keindahan hutan hujan tropika, kekayaan khazanah biodiversiti, keunikan kebudayaan dan pembangunan mapan tanpa menjejaskan ekosistem tasik berkenaan. "Kita juga akan memastikan pelan induk ini sentiasa menekankan penjagaan serta pemuliharaan alam bagi memastikan segala aktiviti ekonomi tidak menjejaskan kawasan sekitar," katanya.

Menyentuh berkenaan pembinaan 'jelatong' oleh penduduk tempatan yang didakwa boleh menjejaskan pemandangan serta persekitaran tasik berkenaan, beliau berharap pelan itu nanti dapat mengatasi masalah berkenaan. Terdapat kira-kira 200 buah 'jelatong' yang dibina oleh penduduk tempatan sebagai tempat tinggal sementara atau sebagai tempat untuk mencari sumber pendapatan di sekitar tasik berkenaan.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.