Saturday 10 March 2012

Melaka catat sejuta pelancong suku pertama 2012

MELAKA 9 Mac - Kira-kira sejuta pelancong direkodkan ke negeri ini sepanjang tiga bulan pertama tahun ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jumlah tersebut memberi gambaran baik terhadap sasaran negeri iaitu 12.5 juta pelancong sepanjang 2012.

"Majoriti yang datang adalah dari Singapura iaitu 407,780 orang diikuti China (255,010) dan Indonesia (269,553)," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) di sini, hari ini.

Menurut beliau, sejak 1999 hingga tahun lalu, Melaka berjaya menarik kunjungan 71.5 juta pelancong. Beliau berkeyakinan selepas Forum IMT-GT dan promosi yang dilakukan oleh Indonesia dan Thailand, lebih ramai pelancong akan ke negeri ini.

Dalam pada itu, kata Mohd. Ali, pelbagai perkara yang telah dibincangkan bersama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Gabenor dari Indonesia dan Thailand itu. "Ini termasuklah persetujuan pertemuan yang lebih kerap iaitu tiga kali setiap tahun dengan menetapkan pusat perjumpaan iaitu Melaka (Malaysia), Medan (Indonesia) dan Songkhla (Thailand).

"Kekerapan perjumpaan ini saya kira memadai untuk menggerakkan kegiatan, apatah lagi dalam keadaan dunia kini yang semakin mencabar dari segi ekonomi serta tahap keselamatan yang tidak menentu adalah baik jika IMT-GT ini merapatkan lagi hubungan.

"Turut dibincangkan adalah dari segi aktiviti halal dan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang memang diterima di seluruh dunia dan Thailand kini telah pun ada badan halal sendiri. Jika dapat bekerjasama, saya fikir boleh kita perluaskan lagi dengan negara-negara lain pula," katanya. Selain itu, kata Mohd. Ali, kerajaan negeri bercadang mewujudkan institut halal di mana-mana institusi pengajian tinggi di negeri ini.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.