Thursday 4 November 2010

Taman Singa Laut dibuka Disember ini

MELAKA 3 Nov. - Taman Singa Laut yang terletak di Pulau Melaka dan bakal menjadi tarikan terbaru pelancongan di negeri ini akan dibuka kepada orang ramai bulan depan. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek bernilai RM2 juta itu kini telah 65 peratus siap dan dijangka mencapai 95 peratus pada 15 November ini. Menurut beliau, walaupun kerja-kerja pelaksanaan projek terbabit lewat dua bulan, beliau yakin ia boleh disiapkan pertengahan Disember ini.

"Saya lihat kerja-kerja pembinaan kolam, pentas dan tempat duduk penonton berjalan lancar. Setakat ini, keseluruhan projek ini sudah siap 65 peratus. "Sebagai permulaan, dua ekor singa laut akan dibeli dari Indonesia dan dilatih untuk membuat persembahan kepada orang ramai," katanya. Beliau berkata demikian selepas meninjau projek terbabit di Pulau Melaka, Banda Hilir di sini kelmarin.

Taman Singa Laut yang pertama dibina di negeri ini mampu memuatkan kira-kira 1,500 orang untuk satu pertunjukan. Mohd. Ali berkata, taman itu akan diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri, Menara Taming Sari Berhad yang kini mengendalikan operasi Menara Taming Sari dan monorel di Taman Rempah. Menurutnya, harga tiket yang akan dikenakan kepada pengunjung ialah RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 bagi dewasa. ''Harga tiket ini tidak mahal kerana pengunjung akan berpuas hati dengan persembahan daripada kedua-dua haiwan terlatih ini," ujarnya. Beliau menambah, produk pelancongan terbaru itu dijangka mampu menarik minat kira-kira 1,000 pelancong sehari dengan pendapatan RM10,000 sebulan.

"Kita yakin, selepas ini Pulau Melaka yang dahulunya suram bakal menjadi produk pelancongan terkenal antaranya seperti Bandar Arab dan Taman Ikan Lumba-Lumba," katanya. Menurutnya, projek pembinaan Taman Ikan Lumba-Lumba di Pulau Melaka dijangka bermula tahun depan. Projek itu katanya, dijangka memakan masa setahun untuk disiapkan.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.