Thursday 18 November 2010

Restoran milik rakyat Malaysia menang anugerah di Vietnam

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Sebuah restoran yang menyediakan makanan halal milik rakyat Malaysia di bandar raya Ho Chi Minh memenangi anugerah The Guide Awards 2010 buat kali kedua berturut-turut. Restoran tiga tingkat Halal@Saigon yang terletak bersebelahan dengan masjid pusat dan hotel mewah Sheraton itu dinobatkan sebagai Outlet Makanan Terbaik dalam satu majlis penyampaian anugerah anjuran Vietnam Economic Times, yang memberi pengiktirafan kepada usahawan terbaik dalam sektor perkhidmatan dan pelancongan. Pakar nutrisi, Dr. M. Shimi Sumathi yang membangunkan restoran itu berkata, 125 pengusaha bidang pelancongan terkemuka di Vietnam, termasuk hotel-hotel bertaraf lima bintang, disampaikan dengan pelbagai anugerah dalam majlis yang diadakan di bandar raya Danang baru-baru ini.

"Ia merupakan pengiktirafan kepada perkhidmatan dan kualiti makanan yang kami sediakan, di samping turut memberi pengiktirafan kepada masakan Malaysia," katanya. Dr. Shimi yang dilahirkan di Taiping dan menetap di Vietnam lebih 15 tahun, merupakan pengarah urusan kepada Prime Suppliers yang mengendalikan perniagaan farmasi. "Permintaan kepada makanan halal Malaysia dan Vietnam di bandar raya Ho Chi Minh amat tinggi, itu sebabnya saya bertekad untuk buka restoran," kata Dr. Shimi yang juga merupakan Presiden Dewan Perdagangan Malaysia- Vietnam.

"Walaupun terdapat beberapa tempat menjual makanan halal di bandar raya, namun tidak banyak yang menyajikan pelbagai masakan Malaysia, India, barat dan citarasa tempatan dalam satu tempat, itu sebabnya restoran kami amat popular," katanya. Dr. Shimi membuka restoran itu pada Februari 2009 dengan menggunakan khidmat tiga chef tempatan dan tiga chef Malaysia. Ia menawarkan makanan Malaysia seperti mi mamak, roti canai, makanan barat dan Vietnam seperti claypot ikan, popia basah dan siput panggang. Dr. Shimi berkata, pelanggannya termasuk kalangan penduduk tempatan, ekspatriat dan rakyat Malaysia yang mengunjungi bandar raya itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.