Thursday 25 November 2010

417,079 pelawat kunjungi Menara Taming Sari

MELAKA 24 Nov. - Menara Taming Sari Berhad (MTSB) mencatat kutipan sebanyak RM3.92 juta melalui 417,079 pengunjung yang menaiki produk pelancongan menara berputar itu dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazary Ahmad berkata, kutipan sebanyak RM3.92 juta itu dicatatkan sepanjang tempoh 276 hari menara itu beroperasi dari 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

Menurut beliau, jumlah tersebut menurun sedikit berbanding kutipan sebanyak RM3.93 juta sepanjang 283 hari beroperasi dalam tempoh yang sama tahun lalu. "Ini bermakna, terdapat perbezaan tujuh hari waktu operasi antara tahun lalu dan tahun ini menyebabkan pendapatan tahun ini berkurangan sebanyak RM13,791. "Walaupun tujuh hari tidak beroperasi tahun ini, perbezaannya tidaklah begitu ketara kerana MTSB sentiasa memperkenalkan pakej promosi selain nilai tambah kepada produk-produk sedia ada," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Secara purata, menurut beliau, menara berputar setinggi 110 meter memperoleh jualan tiket sekitar RM12,000 atau RM14,000 sehari. Tambahnya, dalam tempoh dua tahun tersebut, kutipan bulanan tertinggi pernah diperolehi MTSB adalah sebanyak RM667,345.50 sepanjang 30 hari beroperasi pada Jun tahun lalu. "Sebanyak 75,582 tiket telah terjual pada bulan tersebut. "Pada Januari lalu pula, walaupun hanya beroperasi selama tiga hari, kita berjaya kutip sebanyak RM153,112 apabila 12,941 orang menaiki menara berputar ini," katanya.
Menara Taming Sari mula dibina pada Ogos 2006 dengan menggunakan kepakaran kejuruteraan dari Switzerland dan mula beroperasi sejak 18 April 2008. Berperanan sebagai menara tinjau, ia boleh menampung kapasiti sehingga 66 orang dalam satu-satu masa.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.