Jika itu kriteria yang anda cari ketika bertandang ke Kota Bharu, Kelantan, pastikan Hotel Habib yang terletak di Jalan Maju termasuk dalam senarai penginapan yang perlu dipertimbangkan. Ini kerana hotel berkonsep butik tersebut tampak mewah dan bercita rasa tinggi meskipun dikategori sebagai hotel bajet.

Penampilan ‘classy’ itu seiring dengan reputasi pemiliknya, Habib Jewels Sdn. Bhd. (Habib Jewels) yang cukup sinonim sebagai pengeluar barangan kemas terkemuka. Lebih menarik, lokasi hotel ini amat strategik, iaitu berada betul-betul di pusat bandar Kota Bharu, selain cuma mengambil masa selama 20 minit dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Pengurus Besar Hotel Habib, Khaled Mohd. berkata, hotel pertama milik Habib Jewels tersebut pada asalnya sebuah bangunan kedai tiga tingkat yang dibeli daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB). Selepas melalui proses ubah suai, Hotel Habib mula beroperasi secara rasmi pada Ogos 2010.

“Selain pelancong, kumpulan sasaran kami ialah individu yang mempunyai urusan rasmi di Kota Bharu seperti menghadiri mesyuarat, seminar atau janji temu perniagaan kerana kami mempunyai kelebihan dari segi lokasi.

“Dari Hotel Habib, anda hanya perlu berjalan kaki untuk ke Pasar Siti Khadijah, Muzium Negeri, Kompleks Mahkamah, Pejabat Mara, Tabung Haji, Jabatan Pendidikan Kelantan, MPKB serta stadium,” kata Khaled kepada S2.

Hotel Habib setakat ini memiliki 32 bilik yang terdiri daripada dua kategori iaitu superior dan deluxe.

Bilik superior ditawarkan dengan harga serendah RM160, manakala bilik deluxe pula RM180. Harga tersebut termasuk sarapan untuk dua orang.

Hotel Habib turut dilengkapi dengan beberapa kemudahan lain yang dinamakan mengikut jenis barang kemas iaitu Restoran Suasa, Dewan Emas dan Dewan Platinum.

“Restoran Suasa menyediakan makanan tempatan dan barat. Antara menu istimewa kami ialah mee goreng mamak, oxtail asam, grilled fish picatta, grilled lamb dan fish and chips.

“Kesemua menu istimewa yang disediakan tukang masak kami, Chef Rosmadi Ismail ini dijual dengan harga serendah RM10,” kata Khaled lagi.

Untuk membuat tempahan atau sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Habib Hotel di talian 09-7474788 atau melayari laman web habibhotel.com.my.
-utusan online.