Thursday 27 June 2013

Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di PWTC, mulai 29 Jun

imej: JAKIM
KUALA LUMPUR 26 Jun - Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTQA) Ke-55 bertema 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 29 Jun hingga 6 Julai ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, penganjuran majlis ini sejak 1961 merupakan komitmen kerajaan yang berterusan dalam menerapkan budaya al-Quran menerusi kehidupan seharian, selain merapatkan ukhuwah antara umat Islam di seluruh dunia.

"Sehingga kini, kita telah menerima pengesahan 72 peserta yang terdiri daripada 42 qari dan 30 qariah dari 42 buah negara. "Malaysia akan diwakili oleh johan qari, qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan baru-baru ini iaitu Anuar Hasin dari Perak dan Hanimzah Jalaluddin, Pahang," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Othman berkata, majlis pembukaan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa ini akan dirasmikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada 29 Jun, 8.45 malam. "Yang bakal hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersama isteri masing-masing," katanya.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah pula akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada 6 Julai, waktu yang sama.

Beliau berkata, pelbagai acara selingan akan diatur bagi memeriahkan lagi majlis tilawah kali ini, antaranya persembahan qari jemputan, Tuan Che Yahya Daud yang merupakan johan qari tahun 1999, di samping persembahan artis nasyid popular.

Tambahnya, johan qari dan qariah pada tahun ini akan dianugerahkan kepingan emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) berserta wang tunai RM40,000, sebuah piala iringan, cenderamata dan sijil penghargaan.

Justeru, orang ramai dijemput hadir ke majlis ini bagi menyaksikan secara langsung qari, qariah seluruh dunia memperdengarkan bacaan al-Quran.

"Selain itu, orang ramai juga boleh menonton majlis tilawah itu secara langsung bermula 8.45 malam di TV1, TV Al-Hijrah, Astro Oasis, radio IKIM.FM, Klasik Nasional, Ai FM, Traxx FM dan Asyik FM. "Di samping melalui 'live streaming' dengan melayari laman web www.jakim.tv dan www.tilawah.gov.my dan boleh ikuti melalui Facebook dan Twitter Majlis Tilawah Al-Quran Malaysia,'' ujarnya.
-utusan online.
www.tilawah.gov.my

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.