Saturday 13 October 2012

Perkhidmatan bas percuma KL-Putrajaya bermula 21 Oktober


PUTRAJAYA 11 Okt. - Perkhidmatan bas percuma antara Kuala Lumpur-Putrajaya bagi menarik lebih ramai pelancong ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan akan mula beroperasi pada 21 Oktober ini.

Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, sebagai permulaan sebanyak 400 penduduk sekitar Lembah Pantai, Kuala Lumpur akan dibawa ke sini dengan menaiki sepuluh buah bas Nadi Putra secara percuma. Katanya, selain mampu memanfaatkan bas-bas Nadi Putra yang tidak beroperasi pada cuti hujung minggu, langkah itu juga dapat mempromosi destinasi menarik di Putrajaya kepada pelancong asing dan tempatan.

"Perkhidmatan yang dinamakan Alami 1Putrajaya (AL1P) itu merupakan satu permulaan, PPj juga sedang merancang untuk meletakkan bas Nadi Putra di Dataran Merdeka dan jika mendapat sambutan, perkhidmatan itu akan disediakan setiap Sabtu dan Ahad.

"Saya juga dimaklumkan sebelum ini Putrajaya hanya mendapat tumpuan pada hari-hari bekerja dan tidak ada orang pada Sabtu dan Ahad. Jadi dengan perancangan baru ini akan memeriahkan lagi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Aseh mengadakan pertemuan dengan kontraktor-kontraktor landskap dan kebersihan Putrajaya bagi membincangkan kaedah terbaik untuk mencantikkan lagi kawasan tersebut.

Sementara itu katanya, PPj kini mengambil langkah tersendiri dengan menghantar sebilangan kakitangannya mengikuti kursus pemandu pelancong di Melaka. "Langkah ini amat bertepatan kerana dengan mempunyai pemandu pelancong sendiri saya yakin mampu untuk memperkasakan lagi perkhidmatan yang disediakan PPj kepada pelancong," katanya.

Dalam pada itu, Aseh berkata, beliau masih tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan taman dan landskap di destinasi pelancongan di sekitar Putrajaya. "Tinjauan saya mendapati tahap kebersihan belum mencapai tahap yang selesa di mana terdapat pokok bunga yang tidak subur atau ranting yang tidak dicantas, malah terdapat juga sampah-sarap yang dilonggok sesuka hati.

"Semua ini hanya akan menjejaskan kedatangan pelancong ke sini, jadi saya menyeru agar semua kontraktor yang dilantik menjalankan tugas seperti mana yang diarahkan demi menjaga nama baik Putrajaya," katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.