Friday 11 March 2011

Sasar 50 sertai program 4x4 media

KUALA TERENGGANU 10 Mac - Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) negeri hari ini menyasarkan penyertaan 50 wakil media dari dalam dan luar negara dalam Program Pacuan Empat Roda (4x4) Media Antarabangsa Jun ini. Pengarah Pelancongan negeri, Mohd. Nasir Kushairi berkata, ia sebagai langkah memperhebatkan promosi bagi negeri ini melalui pelbagai produk termasuk kegiatan lasak di samping menghayati alam semula jadi.

Katanya, kesemua peserta akan dibawa menaiki 15 buah kenderaan pada program yang berlangsung selama empat hari tiga malam itu. "Kita telah memilih kawasan yang belum diterokai serta mempunyai nilai sejarah yang tinggi seperti sekitar Kemaman dan Pasir Raja.
"Bagaimanapun, laluan-laluan itu masih belum ditetapkan sepenuhnya dan mungkin akan ada penambahbaikan selepas ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mohd. Nasir menggantikan Shuhaimi Abu Hassan Shari sejak 1 Februari lalu memberitahu, pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada Tourism Kelantan dan Pahang bagi menjayakan program berkenaan. "Hasrat kita ialah untuk memperhebatkan industri pelancongan di Terengganu memandangkan negeri ini mempunyai banyak potensi dalam bidang ekopelancongan," ujar beliau. Tambahnya, dengan adanya program seperti itu, peserta berpeluang menikmati dan mempelajari sesuatu yang berharga mengenai keindahan hutan di negara ini.
- Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.