Sunday 9 January 2011

Masjid terapung gamit pelancong

PULAU PINANG 7 Jan. - Tanjung Bunga di sini sememangnya popular di kalangan penduduk dan pelancong sebagai destinasi makanan laut kerana wujudnya perkampungan nelayan tradisional yang sudah turun-temurun menangkap ikan menggunakan bot-bot kecil. Namun masih ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan sebuah masjid terapung di situ yang semakin menggamit pelancong sejak ia dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Mac 2007. Kedudukannya yang strategik iaitu dalam perjalanan menuju ke Batu Feringghi menjadikan masjid berkenaan sebagai tempat persinggahan di kalangan pelancong bukan sahaja untuk solat malah bagi merehatkan minda. Keadaannya yang terapung atas permukaan air laut sejauh kira-kira 300 meter dari pantai cukup unik dan indah dipandang oleh sesiapa sahaja.

Pembinaan masjid berharga RM15 juta dengan keluasan 1,295 meter persegi itu bertepatan dengan keperluan apabila penduduk kawasan itu semakin bertambah dengan wujudnya penempatan baru mangsa tsunami yang terletak bersebelahan masjid tersebut. Sejarah asal Masjid Tanjung Bunga bermula dengan sebuah surau yang dibina pada 1967 berkeluasan 7.2 meter x 10.8 meter, hasil permuafakatan penduduk tempatan, namun keadaannya agak sempit apabila berlaku pertambahan penduduk. Berkat permuafakatan penduduk, surau berkenaan dinaikkan taraf menjadi sebuah masjid pada 1977 dan keluasannya bertambah kepada 13.2 meter x 21.5 meter yang mampu memuatkan kira-kira 500 jemaah. Segala perbelanjaan diperoleh daripada sumbangan kerajaan negeri dan kutipan derma yang dibuat setiap minggu, manakala kerja pembinaan dilakukan secara gotong-royong.

Memandangkan pertambahan penduduk serta pertumbuhan taman perumahan di kawasan itu, pembinaan masjid baru dicadangkan pada tahun 1980-an. Bagaimanapun, untuk membina masjid baru, kawasan tanah yang ada amat terhad sedangkan untuk membina di kawasan masjid lama pun agak sukar kerana ia betul-betul berada di tepi jalan menghala ke Batu Feringghi yang agak sibuk. Memandangkan harga tanah yang semakin mahal dan terhad di kawasan Tanjung Bunga, tercetus idea membina masjid terapung. Apabila cadangan pembinaan masjid terapung dikemukakan, kerajaan negeri bersetuju kerana ia dapat menjimatkan penggunaan tanah dan tidak perlu membuka kawasan lain yang sememangnya terhad di sini.

Masjid yang tersergam indah itu juga sentiasa diisi dengan pelbagai program keagamaan terutama membudayakan al-Quran oleh kariahnya. Masjid itu yang telah mula digunakan oleh jemaah di kawasan tersebut sejak dua tahun lalu turut menyerlah dengan seni bina mengagumkan hasil gabungan seni bina tempatan dan Asia Barat terutama Turki. Peristiwa tsunami yang melanda negeri di utara Semenanjung pada 26 Disember 2004, membuktikan masjid itu kukuh apabila pembinaannya tidak sedikit pun terjejas walaupun banyak rumah di kawasan sekitarnya ranap sama sekali. Kampung Masjid, contohnya yang terletak berhampiran Masjid Terapung Tanjung Bunga, hampir seluruh rumah kayu beratap zink dan nipah ranap dipukul ombak besar. Masjid tersebut bukan sahaja terselamat daripada bencana tsunami tetapi juga menjadi benteng penahan ombak yang mungkin boleh mengakibatkan kemusnahan lebih teruk dialami penduduk kampung sekitar Tanjung Bunga.

Masjid dua tingkat yang mampu memuatkan 1,500 jemaah itu dan dibina di atas lot 254, 265, 266, 308 dan 643 Mukim 18, Daerah Timur Laut di tepi pantai Tanjung Bunga dilengkapi ruang sembahyang utama, ruang sembahyang wanita, tempat mengambil wuduk lelaki dan wanita serta bilik menguruskan jenazah. Reka bentuknya yang unik sememangnya mengagumkan manakala kubah pula berbentuk aerodinamik, sesuai dengan persekitaran lautan. Keunikan masjid terapung diperkukuhkan lagi dengan menara azan setinggi tujuh tingkat yang dihiasi dengan ukiran kayu jati dan seni khat kaligrafi dari Indonesia.

Mozek dan seramik yang berwarna-warni terdapat di bahagian luar dan dalam masjid untuk memberi pencahayaan dan hasil yang lebih menarik apabila dipandang selain memasang siling putih di bahagian kubah. Bagi mencantikkan lagi kawasan masjid tersebut, reka bentuk tembok pagar bercorak bunga matahari dipasang di sekeliling dan kawasan pintu hadapan masjid tersebut. Setiap hari, masjid itu mengadakan program keagamaan seperti kelas tajwid, hadis, tauhid, fardu ain dan bacaan Yasin oleh guru agama di sekitar negeri ini.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.