Saturday 12 March 2011

Rumah penghulu Natar jadi inap desa

JASIN 11 Mac - Kerajaan negeri berhasrat menjadikan rumah tradisional Penghulu Md. Natar yang berusia kira-kira 180 tahun di Merlimau di sini menjadi produk pelancongan inap desa sekali gus membantu menambah pendapatan kepada waris keluarga terbabit. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, keunikan dan populariti rumah tradisional Penghulu Md. Natar wajar dikomersialkan melalui program inap desa selaras dengan imej Melaka sebagai negeri pelancongan.

Menurutnya, usaha itu selain meningkatkan pencapaian industri pelancongan negeri, ia turut menyumbang kepada pendapatan negeri dalam sektor berkenaan. ''Amat wajar keunikan dan keistimewaan rumah ini diketengahkan kepada masyarakat luar terutama pelancong asing yang belum pernah melihat sendiri rumah kampung tradisional seperti yang terdapat pada rumah tradisional Penghulu Md. Natar," katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Jati Diri Seni Warisan Melaka di Rumah Tradisional Penghulu Md. Natar, Merlimau di sini baru-baru ini.

Rumah tradisional Penghulu Md. Natar dibina sebelum zaman pemerintahan British, direka bukan semata-mata untuk kediaman malah berfungsi sebagai sebuah pusat pengurusan mukim dilengkapi ruang memasak untuk kenduri dan pernah dijadikan lokap untuk penahanan sementara pesalah sebelum dihantar kepada polis. Kata Mohd. Ali, selain keunikan jubin lama dan seni bina yang terdapat pada rumah tersebut, saiz rumah tradisional Penghulu Md. Natar yang agak besar dianggap sesuai dijadikan produk inap desa. ''Saiz dalam rumah ini agak besar, sesuai menampung kehadiran pelancong yang ramai untuk bermalam di rumah ini nanti," katanya.

Malah katanya, rumah tradisional tersebut juga pernah dinaik taraf dan termasuk dalam sebahagian projek pemuliharaan di bawah Jabatan Warisan Negara (JWN) bagi mengekalkan struktur bangunan rumah berkenaan dengan kos sebanyak RM1.7 juta. Menurut beliau, pihaknya akan mengeluarkan modal perbelanjaan bagi membeli peralatan rumah seperti katil untuk ditempatkan di rumah tersebut. ''Hasil keuntungan daripada peniagaan inap desa ini, kita akan ambil 70 peratus manakala pemilik akan dapat 30 peratus," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.