Saturday 5 March 2011

Pulau Aur tiada tandingan



KEMUDAHAN bot laju disediakan untuk kemudahan pengunjung ke Pulau Aur di Mersing, Johor.


MERSING 4 Mac - Bagi pencinta alam semula jadi, keindahan pantai dengan pasir yang halus memutih serta keunikan dan kecantikan batu karang di Pulau Aur dekat sini sudah cukup membuatkan hati terpaut. Terletak kira-kira 76 kilometer dari bandar Mersing, Pulau Aur adalah pulau yang paling jauh dari tanah besar dan terhindar daripada pencemaran dengan perjalanan menaiki bot ke pulau itu mengambil masa kira-kira dua setengah jam.

Keindahan batu karang dan hidupan laut yang banyak terdapat di situ menjadikan kawasan dua batu nautika dari pantai pulau tersebut diwartakan sebagai Taman Laut Johor. Bagi penggemar aktiviti snorkeling, pasti tidak jemu menyaksikan keindahan dasar laut itu yang dihuni pelbagai spesies ikan dan terumbu karang. Kejernihan dan kedinginan air laut pasti membuatkan pengunjung berasa segar semasa mandi-manda ditambah pula dengan pemandangan pulau-pulau kecil berhampiran yang cukup indah sehingga terlupa seketika kesibukan kota.

Jika dilihat dari jauh, keunikan pulau itu terletak pada bentuk muka buminya yang berbukit-bukau serta pohon-pohon yang menghijau. Bagi pengunjung yang bercuti di Pulau Aur mereka tidak perlu khuatir dengan kemudahan calet yang disediakan terutama di bahagian tumpuan pulau iaitu Kampung Teluk Berhala yang kini dikenali sebagai Kampung Teluk Sakinah.


KEDUDUKAN Pulau Aur yang jauh daripada kesibukan kota menjadikannya destinasi pilihan keluarga untuk bercuti.


Pengurus Blue Water Holiday Resort, Siti Salsiah Mohamad, 33, berkata, caletnya menyediakan 16 bilik berhawa dingin dan empat tanpa hawa dingin pada kadar yang berpatutan dan mampu disewa para pengunjung. Harga yang ditawarkan bagi bilik standard berhawa dingin ialah RM180 semalam dan RM120 bagi bilik tidak berhawa dingin.

Selain itu, caletnya turut menawarkan kemudahan bilik seminar yang boleh menampung 100 orang untuk mengadakan kursus, seminar dan mesyuarat dengan kadar harga RM300. Blue Water Holiday Resort yang beroperasi di pulau tersebut lebih 10 tahun turut menyediakan pakej untuk aktiviti snorkeling di pulau berhampiran iaitu Pulau Lang serta kembara hutan di Batu Cina.

Pemandu bot laju syarikat itu, Asfarizal Nasrul, 33, yang telah empat tahun bekerja menyifatkan Pulau Aur adalah pulau yang paling cantik di daerah ini. "Walaupun terletak jauh dari bandar Mersing, keindahan dan kecantikan Pulau Aur tiada tandingannya," katanya.

Rakannya, Selty Rosemy Alias, 31, pula mengakui amat bertuah kerana dapat bekerja sebagai pemandu bot pelancong kerana dapat mengenali pulau-pulau yang terdapat di sekitar perairan Mersing dengan lebih dekat. Seorang penduduk pulau itu, Zainab Awang Kechik, 68, memberitahu bahawa pembangunan di pulau itu semakin rancak dan kehadiran pelancong semakin bertambah berbanding 20 tahun lalu.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.