Saturday 19 March 2011

50 program sempena Pesta Sungai Melaka

MELAKA 18 Mac - Pesta Sungai Melaka yang bakal berlangsung selama sebulan pada Jun ini menyediakan lebih 50 acara bagi menghiburkan kira-kira 500,000 pengunjung ke program tahunan tersebut. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, antara acara yang diadakan adalah pertandingan bot berhias, memancing, fotografi, larian Sungai Melaka, persembahan kebudayaan, forum perdana dan pertunjukan fesyen.

Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan perolehan pendapatan RM250 juta sekiranya setiap pengunjung membelanjakan RM500 di Pesta Sungai Melaka. ''Apa yang penting, kita mahu penganjuran pesta ini sentiasa dinaik taraf dan diperbaharui bagi memastikan pengunjung, khususnya pelancong asing tidak jemu memandangkan ia diadakan setiap tahun sejak diperkenalkan pada 2007," katanya pada majlis Hi-Tea Pesta Sungai Melaka 2011 di sini semalam. Kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM300 juta bagi memperindah dan meningkatkan kebersihan Sungai Melaka dan sehingga ia kini menjadi antara produk pelancongan popular di negeri ini.

Menurut Mohd. Ali, penganjuran Pesta Sungai Melaka turut mendapat pengiktirafan Kementerian Pelancongan dengan memasukkannya dalam kalendar acara kementerian berkenaan. Katanya, seramai 87,000 orang berkunjung ke pesta itu pada 2009 dan jumlah tersebut meningkat kepada 330,000 orang tahun lalu. ''Tujuan penganjuran pesta ini selain untuk mempopularkan lagi keindahan Sungai Melaka, kita mahu ia membantu memperkenalkan produk pelancongan seperti Melaka Taming Sari, Muzium, Zoo dan Melaka Wonderland. ''Saya berharap acara yang dirancang sepanjang pesta sungai ini dapat mempromosikan Melaka amnya dan Sungai Melaka khasnya," ujarnya.

Mohd Ali berkata, kini terdapat lebih satu juta pelancong melawat sungai berkenaan sebulan, sekali gus meletakkan sungai tersebut setanding dengan Sungai San Antonio, Texas, Amerika Syarikat yang terkenal dengan keindahan dan kebersihannya. Katanya, berdasarkan statistik, pelancong yang berkunjung ke Sungai Melaka sepanjang 2009 seramai 708,660 orang, manakala setakat Jun tahun lalu pula seramai 1.04 juta pelancong. Kata beliau, satu lagi daya tarikan terbaru yang baru sahaja beroperasi di sepanjang Sungai Melaka ialah Aerorail yang boleh membawa 24 orang bagi setiap perjalanan sejauh dua kilometer dari Taman Rempah ke Dataran Hang Tuah.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.