Sunday 27 February 2011

Kerdau tawar pelancongan menarik


TEMERLOH 25 Feb. - Nama Kerdau tidak mungkin sehebat Pulau Tioman yang diiktiraf antara 10 pulau tercantik di dunia atau Pulau Langkawi yang popular di persada antarabangsa. Pada pandangan mata kasar, Kerdau tidak memiliki sebarang keistimewaan seperti Pulau Tioman yang menjadi pilihan penyelam dari seluruh dunia. Kerdau hanya sebuah perkampungan yang penduduknya bergantung kepada sektor pertanian seperti komoditi kelapa sawit dan getah selain kebun buah-buahan dan aktiviti nelayan di Sungai Pahang.

Namun begitu, nama kawasan itu yang terletak dalam Daerah Temerloh semakin dikenali apabila ia menjadi tumpuan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara. Program inap desa adalah produk pelancongan yang mempopularkan nama Kerdau dengan kehadiran pelancong luar negara dan tempatan. Konsep pelancongan inap desa semakin popular apabila pelancong berpeluang menikmati keunikan hidup masyarakat desa secara langsung. Inap desa di kawasan itu menawarkan pelbagai pakej kebudayaan, kemasyarakatan, ecopelancongan, agropelancongan dan lain-lain.

Aktiviti inap desa antara lain menawarkan kehidupan sebenar masyarakat kampung termasuk peneroka yang menjalankan kegiatan menuai kelapa sawit, menyusuri Sungai Pahang, memancing ikan, membuat kuih tradisional, majlis perkahwinan dan sebagainya. Terdapat tiga pusat inap desa di kawasan itu iaitu di Kampung Desa Murni, Kampung Rumpun Makmur dan Felda Jengka 25 dengan penglibatan lebih 160 penduduk bagi menjayakannya. Penduduk Kampung Desa Murni paling ramai menceburi sektor tersebut manakala bakinya ialah 20 pengusaha di Kampung Rumpun Makmur dan 44 pengusaha di Felda Jengka 25. Kampung itu adalah antara kampung terawal dipilih melaksanakan program tersebut di negeri ini yang diperkenalkan sekitar awal 80-an.

Kampung Desa Murni terletak kira-kira 13 kilometer dari Bandar Temerloh atau satu jam 30 minit perjalanan dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menawarkan produk pelancongan kehidupan masyarakat kampung. Selain merasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat desa, pelancong juga melihat kebudayaan dan cara hidup penduduk setempat, makanan tempatan dan menghadiri majlis perkahwinan. Mereka juga dibawa melawat perkampungan Orang Asli suku kaum Jakun, pengalaman menoreh getah, ternakan ikan sangkar dan pusat Santuari Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dekat Lanchang di sini. Di Santuari Gajah Kebangsaan, pelancong berpeluang memberi makanan, menunggang dan mandi bersama haiwan berkenaan yang menjadi kegemaran kepada pelancongan tempatan dan asing.

Kampung Rumpun Makmur pula menawarkan pakej menarik seperti melawat ladang kelapa sawit dan getah serta meneroka keindahan Gunung Senyum. Pelancong juga akan menikmati hidangan yang disediakan oleh penduduk kampung itu seperti masakan gulai asam rom, selain mencuba tarian joget Pahang dan sesumpah serta melawat pusat kraf tangan Temin.

Felda Jengka 25 tidak kurang hebatnya apabila terkenal dengan produk pelancongannya iaitu Gua Kota Gelanggi, Taman Negara, Jerantut dan Pusat Penyelidikan Pertanian Sungai Tekam (PPPTR). Hasil pembangunan pelancongan yang dibawakan kepada masyarakat di kampung terbabit memberi limpahan kepada mereka, sekali gus menjana pendapatan dalam menampung kehidupan seharian.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.