Saturday 30 October 2010

Silap eja bukan salah kementerian

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kementerian Pelancongan menjelaskan kesilapan ejaan dalam risalah Pavilion Malaysia yang diedarkan di Ekspo Shanghai 2010 pada Mei lalu, dilakukan oleh syarikat percetakan di negara tersebut. Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, kementeriannya telah membuat semakan teliti ketika menghantar salinan digital maklumat berhubung Pavilion Malaysia ke Shanghai dan mendapati tiada kesalahan dalam ejaan mahupun tatabahasa. Menurut beliau, pihaknya masih menyimpan draf risalah itu dan setiap perkataan dieja dengan betul tanpa sebarang kesalahan. ''Tetapi kesalahan itu wujud ketika syarikat percetakan membuat cetakan dan mereka tidak membuat semakan selepas membuat cetakan.

''Saya pun hanya menyedari kesalahan ejaan itu semalam. Oleh itu, Kementerian Pelancongan akan menghantar surat kepada pihak Ekspo Shanghai bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu ini,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Sebelum itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Pelancongan Pentadbiran Kebangsaan Vietnam, Nguyen Van Tuan.

Semalam, Ahli Parlimen Rasah daripada DAP, Anthony Loke meminta penjelasan Kementerian Pelancongan berhubung kesalahan ejaan yang terdapat dalam risalah Pavilion Malaysia yang diedarkan di Ekspo Shanghai 2010 pada Mei lalu. Kesalahan yang terdapat dalam risalah tersebut antaranya 'decelopment' yang sepatutnya dieja 'development', 'visitious' (visitors), 'beautuful' (beautiful) dan 'ciiti' (city). Tambahnya, kementeriannya membuat cetakan risalah itu di negara berkenaan kerana mahu menjimatkan kos. ''Kami mencetak berjuta risalah dan melibatkan kos tinggi jika dicetak di Malaysia selain terpaksa membayar tambang tambahan untuk dibawa ke Shanghai,'' katanya.

Dalam pada itu, tambah Yen Yen, kerajaan Vietnam sangat tertarik dengan kejayaan Kementerian Pelancongan kerana Malaysia merupakan negara yang berada dalam tangga kesembilan iaitu paling banyak dikunjungi oleh pelancong asing pada tahun lalu. ''Kementerian Pelancongan Vietnam berhasrat untuk mengetahui cara-cara menarik pelancong asing. ''Mereka juga akan membawa pegawai daripada Kementerian Pelancongan dan pihak media untuk melawat negara berkenaan dalam masa terdekat,'' katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.