Wednesday 31 May 2017

Minuman, snek percuma bagi` hidupkan’ R&R Perasing

Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing.
- UTUSAN ONLINE/ BLOG JALAN RAYA MALAYSIA


KUALA TERENGGANU 31 Mei - Jabatan Pelancongan negeri akan mengagihkan snek dan minuman panas secara percuma kepada pengguna Lebuh Raya Pantai Timur II (LPT2) yang singgah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing sepanjang musim perayaan kini.

Pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, agihan selama sebulan bagi memeriah dan menghidupkan suasana akan bermula esok dari pukul 7 petang sehingga habis bekalan yang disediakan setiap hari.

Katanya, ini sebahagian daripada pendekatan ke arah meningkatkan bilangan pengguna LPT2 yang singgah untuk berehat, bersolat atau menjamu selera dengan memanfaatkan R&R Perasing di Kemaman itu.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, katanya, usaha yang dijalankan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman itu mendapat sokongan 14 syarikat swasta di negeri ini.

“Ini termasuklah Casa Hartamas, Hexatrend, Perunding Irzi, Giga Builders, DM Machinery, BBR Construction System (M) Sdn. Bhd. dan Chan Kong Meng Sdn. Bhd,” ujarnya.

R&R Perasing salah satu daripada tiga R&R LPT2 di negeri ini namun ia seakan cuba dijauhi dan agak lengang, ekoran kesan pelbagai cerita seram yang dianggap mengarut melalui media sosial di samping tiada kegiatan niaga yang dianggap menarik.

Menurut Tun Faisal, ini merupakan sebahagian daripada tarikan program promosi Jom Ke R&R Perasing dan Jom Rehat Dulu Sebelum Memulakan Pemanduan.

“Kami juga akan membuka membuka Pusat Maklumat Pelancongan di samping bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan untuk membuka kiosk nasi dagang dan keropok sejuk beku serta beberapa produk Terengganu lain,” katanya.

“Usaha mempromosi R&R Perasing akan berterusan selama tiga bulan dan kemungkinan akan dilanjutkan sehingga hentian ini menjadi pilihan orang ramai,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.