Wednesday 24 May 2017

Homestay jana RM27.7j

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN bersama pengusaha-pengusaha inap desa selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pemilik Homestay Negeri Melaka 2016 di Melaka, semalam. UTUSAN/MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR


MELAKA 23 Mei – Program Pe­ngalaman Homestay Malaysia 2016 berjaya merekodkan pendapatan keseluruhan pengusaha-pengusaha inap desa sebanyak RM27.7 juta dengan jumlah pelancong seramai 410,522 orang dari dalam dan luar negara.

Timbalan Menteri Pelancong­an dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, setakat Januari hingga Mac tahun ini pula, program tersebut telah menjana pendapatan seba­nyak RM4.67 juta dan menerima 59,764 pelancong domestik dan antarabangsa serta meletakkan sasaran RM28 juta pendapatan keseluruhan pengusaha inap desa pada hujung tahun ini.

“Sehingga kini, Program Pe­ngalaman Homestay Malaysia telah mendaftarkan sebanyak 199 kluster inap desa yang melibatkan 3,878 pengusaha yang menawarkan 5,445 bilik.

“Pengusaha inap desa perlu mengenal pasti keunikan kediaman yang disediakan masing-masing di samping meningkatkan kerjasama antara mereka dengan penggiat industri seperti ejen pelancongan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pemilik Homestay Negeri Melaka 2016 di Auditorium pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Pemilik Homestay Negeri Melaka, Datuk Akramuddin Abd. Aziz dan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri Melaka, Jefri Munir.

Menurut Mas Ermieyati, program tersebut merupakan satu inisiatif kementeriannya untuk menggalakkan dan meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan secara pelancongan berasaskan komuniti.

“Dalam program ini, pelancong berpeluang untuk merasai pe­ngalaman tinggal bersama keluar­ga tuan rumah pengusaha inap desa yang telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta berinteraksi sambil menyelami gaya hidup seharian masyarakat kampung dan kebudayaan mereka,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberitahu, program tersebut juga telah mendapat pengiktirafan yang tinggi dalam industri pelancongan dunia.

“Pada tahun 2012, Program Homestay Malaysia telah dianugerahkan Ulysses Award in Public Policy and Governance oleh Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) di Instanbul, Turki.

“Di peringkat ASEAN pula, Malaysia merupakan peneraju dalam membangunkan ASEAN Homestay Standard dan telah diguna pakai oleh negara-negara ASEAN,” ujarnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.