Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, Cabaran Luncur Layar Balok merupakan kejohanan sukan air lasak yang mana pada tahun ini diadakan dari 19 hingga 21 Februari ini di Pantai Balok di sini.

“Sehingga kini sebanyak 70 peserta termasuk dari luar negara seperti Belgium, Jerman, Austra­lia, Korea, Britain dan Singapura sudah mengesahkan penyertaan.

“Sebelum ini, pertandingan luncur layar ini dikenali sebagai Kuantan Challenge yang mana ia semakin diminati khususnya golongan amatur,” katanya di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengurus Besar Tourism negeri, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Pelancongan negeri, Idrus Yahya.

Menurut Mohd. Sharkar, menjelang April ini pula, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) buat julung kali bekerjasama dengan Pelancongan negeri, Tuah Travel dan penggiat industri pelancongan untuk menjayakan program Wari­san Kereta Api Timur yang menawarkan pakej pelancongan iaitu pengalaman menaiki kereta api dari Mentakab hingga Merapoh.

Kata beliau, dengan bayaran bermula RM400 seorang untuk perjalanan pergi dan balik, pelancong dapat menikmati panorama sepanjang perjalanan sambil menikmati menu masakan negeri ini semasa berada dalam kereta api.

“Menariknya, selagi memiliki tiket KTMB tersebut, mereka masih boleh meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya walaupun berhenti sementara untuk dua atau tiga hari di lokasi terpi­lih,” katanya.
-utusan online.