Tuesday 12 June 2012

UEM Land bina resort RM5.4b

UEM Land Holdings Bhd, bakal melebarkan lagi projek hartanahnya apabila mengumumkan cadangan untuk membina sebuah resort kediaman mewah dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM5.4 bilion di Desaru, Johor. 

Projek yang dirancang dibina mengelilingi dua padang golf serta sebuah kelab pantai untuk kemudahan pembelinya itu bakal dilaksanakannya dengan kerjasama anak syarikat milik penuh Desaru Development Holdings One Sdn Bhd (DH1), iaitu sebuah anak syarikat Desaru Development Corporation Sdn Bhd (DDC). DDC  ialah pemaju utama Desaru, yang juga antara destinasi pelancongan terkemuka di kawasan pantai timur Johor.



CIMB Investment Bank Bhd, dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia bagi pihak UEM Land berkata rancangan pembangunan itu akan dilaksanakan menerusi anak syarikat 51 peratus milik UEM Land. Bank pelaburan itu berkata, bagi tujuan berkenaan, UEM Land akan membeli 25 bidang tanah dikenali Desaru Lands berkeluasan kira-kira 275 hektar yang bernilai RM485.3 juta di Desaru. “Rancangan pembangunan itu adalah sejajar usaha berterusan UEM Land untuk mendapatkan sumber baru simpanan tanah dan peluang pembangunan hartanah bagi meningkat serta mengekalkan pertumbuhan pendapatan jangka panjangnya,” kata kenyataan itu. 

Kenyataan itu menambah, tertakluk kepada kelulusan pembangunan yang diperlukan, UEM Land menyasar memulakan cadangan pembangunan itu tahun depan. 
“Dijangkakan fasa terakhir pembangunannya dapat disiapkan dalam tempoh 20 tahun. Projek ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan akan datang kumpulan,” katanya. 

Desaru Lands terletak di kawasan tumpuan peranginan pantai Desaru, di bahagian timur Johor berdepan dengan Laut China Selatan serta boleh diakses dari pusat bandar Johor Bahru melalui Lebuhraya Senai-Desaru. Kawasan itu juga boleh diakses melalui laut dari Terminal Feri Changi di Singapura ke Tanjung Belungkor atau Tanjung Pengelih di Johor, disusuli pengangkutan darat. 

DDC, sebagai pemaju utama Desaru sedang meninjau membangunkan kawasan itu menjadi destinasi peranginan bertaraf dunia merangkumi hotel, resort, rumah percutian, padang golf, perkampungan runcit, pusat konvensyen serta taman tarikan tema. Berikutan kepakaran UEM Land dalam membangunkan kediaman mewah yang dibuktikan produknya seperti East Ledang dan Horizon Hills, pembangunan kediaman golf di Nusajaya di samping beberapa projek di Mont Kiara, maka syarikat itu dipelawa terbabit dalam rancangan pembangunan Desaru menerusi projek di Desaru Lands itu. 

Desaru Lands yang akan dimajukan itu dibahagikan kepada tiga kawasan pembangunan. 
Bahagian pertama yang terdiri daripada 11 bidang tanah seluas 123 hektar akan dimajukan dengan rancangan pembinaan kediaman mengelilingi lapangan golf 27 lubang, manakala bahagian kedua pula terdiri daripada 13 bidang tanah seluas 150 hektar akan dimajukan dengan kediaman mengelilingi lapangan golf 18 lubang. Sementara itu, sebidang tanah seluas 1.5 hektar yang terletak berhampiran kedua-dua padang golf itu serta berdepan pantai akan dimajukan sebagai kawasan kelab pantai.


-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.