Tuesday 1 May 2012

"Cuti-cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub"


PUTRAJAYA, 30 APRIL 2012: Tourism Malaysia akan menganjurkan acara Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub di Taman Tasik Raub, Pahang pada Ahad, 6 Mei 2012 untuk menyemarakkan lagi aktiviti berbasikal di sekitar Raub.

Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub ini merupakan acara susulan kepada majlis "Pelancaran Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia sempena Kayuhan Sihat 1 Malaysia" yang telah diadakan di Raub pada 1 April 2012 yang lalu.

Antara objektif utama acara ini adalah:-

·      Mempromosi dan memberi publisiti kepada pembangunan produk pelancongan dan meningkatkan aktiviti pelancongan di sekitar  daerah Raub.
·      Memberi pulangan dan menjana pendapatan bagi para penduduk tempatan melalui hasil aktiviti pelancongan.
·      Memberi sokongan ke atas usaha Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Kerajaan Negeri dan persatuan-persatuan berbasikal di Malaysia dalam menganjurkan pelbagai acara berbasikal di Malaysia.

Acara ini akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen yang juga akan berbasikal sejauh 15km bersama lebih kurang 500 orang peserta. Laluan berbasikal akan bermula dari Taman Tasik Raub dan melalui Jalan Lipis – Sempalit – Taman Amalina Lestari– Simpang Kalang – Bulatan Bukit Koman – Kampung Bukit Koman – Taman Mutiara 1- JPJ – Jalan Cheroh – Bandar Raub  sebelum kembali semula ke Taman Tasik Raub.

Selain itu, YB Dato' Sri Ng Yen Yen akan turut menyerahkan sebanyak sepuluh buah basikal kepada Polis Diraja Malaysia Raub sebagai tanda sokongan kepada Unit Ronda Berbasikal PDRM Raub. YB Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen dalam ucapannya berkata "Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub" akan diadakan pada setiap hari Ahad minggu pertama setiap bulan.

Beliau berkata bahawa aktiviti bulanan ini yang melibatkan kayuhan sejauh 7km di sekitar bandar Raub adalah terbuka kepada para pelajar sekolah, kelab berbasikal, penduduk sekitar daerah Raub dan juga penduduk dari daerah lain seperti Bentong, Temerloh, Kuantan dan Kuala Lumpur. "Kita mahu menjadikan aktiviti berbasikal di daerah Raub sebagai satu produk pelancongan yang dapat mendekatkan para pelancong asing dan domestik kepada keindahan alam semula jadi dan penduduk kampung di sekitar Raub. Aktiviti berbasikal ini bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga untuk penjagaan alam sekitar." sambungnya lagi.

Selaras dengan dasar kerajaan, aktiviti ini juga dapat memupuk semangat bersukan dan gaya hidup sihat di kalangan warga Malaysia dan menjadikan program berbasikal di hujung minggu ini sebagai salah satu aktiviti riadah bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Tambahan lagi trend pelancongan berbasikal kini sedang berkembang dengan pesatnya di serata dunia. Tourism Malaysia sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa tempatan, Kelab Berbasikal Reborn Raub dan juga para penduduk setempat untuk melaksanakan perasmian program berbasikal "Cuti-Cuti 1 Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub".

Kayuhan Sihat Warga Kementerian Pelancongan Malaysia di Putrajaya

Sebuah program berbasikal untuk warga Kementerian Pelancongan Malaysia (KPL) telah dilancarkan di sini hari ini. YB Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen telah mengetuai seramai lebih kurang 50 penunggang basikal yang merupakan warga KPL untuk berkayuh dari perkarangan KPL sehingga ke Taman Empangan.

Program ini diadakan bertujuan untuk mempromosikan aktiviti berbasikal sebagai produk pelancongan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat di kalangan warga KPL. Aktiviti mingguan ini akan diadakan pada setiap hari Rabu.
-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.