Tuesday 29 November 2016

Terbaik hanya di TH Hotel

sumber: http://thhotels.com.my/
Menjadi duta kecil kepada setiap negeri di negara ini, itu harapan tinggi anak syarikat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), TH Hotel dalam mempromosikan keunikan masyarakat majmuk negara ini kepada orang ramai khususnya pelancong asing.

Memiliki rangkaian hotel berhampiran lapangan terbang, kelebihan tersebut mahu digunakan sepenuhnya bagi membantu menjayakan agenda pelancongan negara, sekali gus bertindak sebagai ‘jendela awal’ kepada pengunjungnya.

Pengarah Urusan Kumpulan TH Hotel, Datuk Yasmin Tan Sri Mohd. Yazid berkata, pihaknya berusaha memanfaatkan rangkaian hotel yang dimiliki untuk menempatkan segala produk atau hasil masyarakat tempatan di sesebuah negeri bagi ditonjolkan kepada kumpulan pelancong.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH Hotel berkata, bukan sahaja segala bentuk kemudahan disediakan kepada pelanggan, malah TH Hotel boleh dianggap sebagai pusat sehenti terbaik buat pelanggan sama ada melibatkan orang luar atau masyarakat setempat.

“Lebih menarik, segala sajian, kebudayaan dan produk utama masyarakat tempatan di sesebuah negeri ditonjolkan di hotel ini. Kita mahu pelanggan terutama pelancong asing dapat gambaran awal tentang masyarakat setempat bermula dari TH Hotel dan kemudiannya pulang membawa memori indah juga dari destinasi terakhir iaitu dari TH Hotel,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

DEKAT DI HATI PELANGGAN

Tambah Yasmin, TH Hotel bukan sahaja akan lebih agresif mengembangkan rangkaian hotel patuh syariah di seluruh negara tetapi menjadi sebuah destinasi yang begitu dekat di hati dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurutnya, beliau mahukan hospitaliti yang dimiliki TH Hotel itu menjadi hak milik bersama dengan komuniti setempat, seterusnya boleh memberi impak positif selaras dengan matlamat Tabung Haji dalam membangunkan dan meningkatkan ummah.

Sebagai contoh, katanya, kumpulan petugas dan pengurusan TH Hotel di sesebuah negeri diambil daripada kalangan masyarakat setempat, sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam kalangan orang ramai di negeri tersebut.

Selain itu, beliau berkata, TH Hotel mahu segala kemudahan yang ada dapat dimanfaatkan oleh seluruh lapisan masyarakat dalam menganjurkan apa jua program dan perbincangan perniagaan di rangkaian hotel dimiliki.

“Kita di TH Hotel menyediakan ruang bilik pelbagai saiz untuk disewakan kepada orang ramai. Daripada sekecil-kecil bilik yang boleh menempatkan 25 orang sehingga kepada dewan yang boleh memuatkan kapasiti peserta sehingga 1,500 orang,” katanya.

PERANCANGAN MENGUKUHKAN KEDUDUKAN

Ditanya mengenai perancangan mengukuhkan kedudukan TH Hotel dalam industri diceburi, Yasmin berkata, selain menyasarkan untuk membina sekurang-kurangnya sebuah hotel di seluruh negeri di Malaysia, beberapa buah hotel lain juga sedang dibina pada masa ini.

“Sebuah hotel bertaraf antarabangsa dengan penarafan lima bintang iaitu TH Hotel Movenpick sedang dibina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan dijangka bakal beroperasi pada suku pertama 2018.

Selain itu, menurutnya, sebuah lagi hotel yang sedang dalam pembinaan adalah TH Hotel Kuching, dijangka siap dan bakal beroperasi pada pertengahan tahun hadapan.

Mampu memberi pulangan lebih baik kepada Tabung Haji dan pendeposit
TH Hotel mahu mewujudkan sebuah ‘destinasi’ yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh lapisan masyarakat, bukan sahaja dari sektor korporat malah lapisan masyarakat termasuk usahawan kecil yang mempunyai bajet terhad.

TH Hotel menyediakan pelbagai jenis bilik untuk dimanfaatkan, selain suasana persekitaran kondusif untuk pelbagai jenis penganjuran majlis keraian, seminar, pameran atau lokasi perbincangan perniagaan.

Konsep TH Hotel:
Tidak sekadar menyediakan kemudahan sehenti kepada jemaah haji, umrah sahaja
Pelbagai program, majlis keraian boleh dilangsungkan di TH Hotel
Semua asas, garis panduan TH Hotel berkonsepkan syariah
Amalkan konsep 3K iaitu Kemudahan, Keselesaan, Keyakinan
Pengguna boleh menggunakan kemudahan tanpa rasa was-was

Lokasi:
Terletak berhampiran lapangan terbang
Bertindak sebagai ‘pintu pertama’ menyambut pelancong dan ‘pintu terakhir’ mengucapkan selamat tinggal

Kitaran:
Pelanggan secara tidak langsung menyokong pembangunan Islam
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.