Thursday 19 April 2012

Pelan bangun pelancongan Islam

TELOK KEMANG 18 April - Satu pelan pembangunan industri pelancongan Islam strategik sedang dirangka oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) bagi membolehkan ia digunapakai sehingga tahun 2020 bagi mengembangkan industri berkenaan.

Ketua Pengarahnya Abdul Rahman Shaari menjelaskan, bagi melaksanakannya, pihak ITC telah melantik sebuah syarikat perunding bagi membuat kajian mengenainya yang akan mengambil masa enam bulan. ''Berdasarkan kajian itu nanti satu cadangan strategi secara keseluruhannya akan disediakan bukan saja setakat untuk membawa lebih ramai pelancong ke negara ini, malah menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan pelancongan Islam

''Setakat ini pihak kami telah pun menerima laporan pertama hasil kajian itu dan hasil keseluruhan dijangka diterima hujung tahun ini. ITC juga menjangkakan apabila ia dilaksanakan ia akan menjadikan negara ini sebagai pelopor hab pelancongan Islam," katanya kelmarin.

Abdul Rahman berkata demikian selepas menghadiri Seminar Serantau Membangunkan Pelancongan Islam di Klana Beach Resort, Port Dickson yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohammad Razi Kail. Jelas beliau, melalui potensi pasaran sebanyak 50 negara Islam yang mempunyai tidak kurang daripada 1.6 bilion penganut agama Islam, peluang adalah sangat besar untuk menarik lebih ramai pelancong Islam ke Malaysia

Mengenai seminar itu, Abdul Rahman berkata, tujuannya adalah untuk mengenal pasti keperluan pelancong yang datang ke negara ini. ''Apa yang kita mahu supaya konsep ini bukan hanya sekadar untuk umat Islam semata-mata, namun ia boleh diperluaskan kepada mereka yang berminat melancong ke negara ini," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.