Wednesday 11 April 2012

Istana Negara Jalan Duta


Istana Negara adalah tempat bersemayam rasmi bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Istana Negara ini yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur adalah merupakan mercu tanda bagi sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan di Malaysia yang mana kemudahannya melibatkan aspek keselamatan dan ciri-ciri estetika khusus dengan penekanan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu pada bangunan Istana Negara ini yang terletak di kawasan seluas 241.3 ekar (97.65 hektar).

Pentadbiran Istana Negara di Jalan Duta ini telah mula beroperasi sepenuhnya pada tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu pada 11 November 2011. Manakala Istiadat Menaikkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah diadakan pada 15 November 2011 sebagai simbolik bahawasanya Istana Negara, Jalan Duta ini telah secara rasminya menjadi Istana Negara di Malaysia.

KEUNIKAN BINAAN

Antara keunikan yang dapat dilihat pada Istana Negara ini adalah bilangan kubahnya iaitu sebanyak 22 buah kesemuanya. Pada 2 kubah terbesar, terdapat reka bentuk seolah sirih bertindih di mana pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi yang sangat cantik. Cahaya yang boleh bertukar warna mengikut acara rasmi diadakan dapat dilihat secara jelas daripada luar kawasan Istana Negara ini. Dalam pada itu, di dalam lobi utama, tetamu akan berada di bawah kubah utama setinggi 40 meter atau 10 tingkat bangunan. Ia juga menempatkan chandelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan di Kuala Selangor. Di sekeliling kubah yang disokong oleh tiang-tiang besar berbentuk bulat, terdapat lapan lukisan besar yang memaparkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka sehingga era sekarang yang menyaksikan Malaysia membangun dengan pesat.

Berbeza dengan Istana Negara, Jalan Istana yang agak sempit dengan keluasan 11.34 hektar. Istana Negara, Jalan Duta yang lebih luas membolehkan setiap Bilik dan Dewan dibina khusus untuk fungsi tertentu sahaja. Semua bilik dan dewan berkenaan memaparkan ukiran, lukisan dan hiasan dalaman tradisional Melayu. Ciri-ciri Islam termasuk corak geometri tiga dimensi, ukiran kalimah Allah, lampu hiasan seperti yang banyak diguna ketika zaman kegemilangan kerajaan Islam juga turut kelihatan terutama pada binaan surau. Tulisan ayat-ayat suci Al-Quran yang terpapar di sekeliling ruang dalaman dan bahagian Mihrab surau berkenaan dihasilkan oleh anak tempatan. Manakala Singgahsana yang menjadi tempat Bersemayam Seri Paduka Baginda di Balairong Seri Istana Negara, Jalan Duta ini mempunyai ukiran tradisional Melayu serta tulisan khat 99 Nama Allah dan ayat-ayat suci Al-Quran. Ukiran berkenaan dihasilkan oleh beberapa pengukir terkenal dari Terengganu dan Kelantan yang diakui sejak zaman-berzaman mempunyai hasil kerja bermutu tinggi.

Selain keunikan segi ukiran, lukisan dan hiasan dalaman yang dihasilkan dengan tangan sepenuhnya, keistimewaan lain yang terdapat pada Istana Negara ini adalah suasana alam semula jadi di sekelilingnya. Ini berikutan hanya sekitar 65 hektar sahaja yang digunakan bagi pembinaan bangunan manakala kawasan selebihnya dikekalkan sebagai taman dan zon penampan untuk keselamatan. Persekitaran Istana Negara juga diperindahkan dengan sulaman lanskap lembut.

KOMPONEN BANGUNAN

Istana Negara, Jalan Duta dibina merangkumi tiga komponen utama iaitu Komponen Formal, Komponen Diraja serta Komponen Pentadbiran.

Komponen Formal

Komponen Formal menempatkan Balairong Seri, bilik untuk majlis menghadap, bilik menunggu sebelum majlis menghadap, Dewan Bankuet bagi majlis santapan , Bilik Singgahsana Kecil dan Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja iaitu tempat bagi Majlis Raja-Raja bersidang beserta bilik menunggu bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Yang Amat Berhormat Ketua-Ketua Menteri. Di komponen ini juga disediakan ruang legar yang selesa bagi kegunaan tetamu jemputan diantara Dewan Banquet dan Balairong Seri serta Pejabat Bahagian Keselamatan Istana Negara khusus bagi menjaga keselamatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta kawasan persekitaran Istana Negara ini.

Komponen Diraja

Komponen Diraja pula yang direka khusus untuk kegunaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong beserta kerabat Diraja Baginda meliputi Kamar Peraduan, Kamar Persiraman, Kamar Pejabat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kamar Santapan, Tempat Istirehat serta Bilik Tetamu Diraja.

Komponen Pentadbiran

Komponen Pentadbiran pula menempatkan Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Pejabat Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Urusan Diraja, Bahagian Istiadat, Bahagian Pentadbiran, Bahagian Agama serta Bahagian Juruiring yang menjadi nadi pentadbiran dan pengurusan Istana Negara, Jalan Duta ini.

Sebuah surau dengan muatan 1000 jemaah turut disediakan bagi kemudahan tetamu dan kakitangan Istana Negara.

Kemudahan lain yang turut dibina di Istana Negara ini adalah termasuk bangunan sokongan, pejabat keselamatan, jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta, dataran pelawat dan tempat meletak kenderaan bawah tanah. Turut disediakan kemudahan dewan serbaguna, lif, eskalator, bilik rawatan, tapak pendaratan helikopter, tempat tembakan meriam, stable kuda, gelanggang untuk bersukan serta kolam renang.

LALUAN ISTANA NEGARA

Istana Negara, Jalan Duta mempunyai 3 laluan masuk utama iaitu Pintu Gerbang Masuk Utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta adalah bagi kegunaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan. Pintu Gerbang Masuk Utama ini turut menempatkan Pengawal Istana dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja serta pengawal berkuda yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Pintu 2 yang terletak di Jalan Changkat Semantan adalah pintu masuk bagi kegunaan Tetamu Diraja serta tetamu-tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara.

Manakala Pintu 3 yang terletak di Jalan Sri Hartamas, Mont Kiara adalah pintu masuk bagi kegunaan Rakyat yang ingin berurusan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Pentadbiran Istana Negara serta tetamu-tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara.

-Istana Negara.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.