Sunday 4 September 2011

Ilham Rom di La Stella


KANAK- kanak tentunya tidak melepaskan peluang untuk mandi-manda di kolam renang.

Keistimewaan Taman Tema Air La Stella di Starhill Golf & Country Club (SHCC) di Johor Bahru, Johor sejak siap dibina pada tahun 1995 hanya dapat dinikmati secara eksklusif di kalangan ahli kelabnya sahaja. Namun, menyedari potensi dan tarikannya yang bukan sedikit maka ia mula dibuka kepada orang ramai sejak tiga tahun lalu. Dibina di atas tanah seluas 1.6 hektar, bangunan Colliseum di Rom, Itali menjadi sumber inspirasi arkitek yang bertanggung jawab merealisasikan kehebatan La Stella.

Taman tema yang unik itu terletak di kawasan yang dilengkapi pelbagai kemudahan - paling penting laluan utama seperti Lebuh Raya Utara-Selatan. Bayangkan perjalanan hanya mengambil masa 20 minit dari Tambak Johor, 30 minit dari Lebuh Raya Link Kedua dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. La Stella diambil daripada perkataan Itali dan bermaksud bintang, dibina oleh Australian Leisure Industry Pte. Ltd., hasil ilham bekas pemilik SHCC yang merupakan seorang rakyat Jepun iaitu mendiang Takeshi Tsuchigahata.

Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke taman tema air yang mempunyai dua buah kolam renang masing-masing dikhaskan untuk dewasa dan kanak-kanak pasti kagum dengan reka bentuknya dan terasa seolah-olah berada di Rome, Itali. La Stella ini merupakan satu-satunya taman tema air seumpamanya di Johor Bahru sekali gus menjadikan SHCC kelab golf yang mempunyai taman tema air terbesar. Kelebihan itu pasti mampu menawarkan keseronokan kepada pengunjungnya.

Tumpuan

Pengurus Sukan dan Rekreasi SHCC, Mohd Fadil Ami berkata, sejak pintunya mula dibuka kepada orang ramai, taman tema air La Stella sering menjadi tempat tumpuan untuk beriadah terutamanya mereka yang berkeluarga. Menurutnya, taman tema air itu bukan sahaja menawarkan tempat untuk bermandi-manda yang mampu membuat pengunjungnya seolah-olah berada di tepi pantai, tetapi ia turut menyediakan pelbagai kemudahan.

Selain kolam renang, pengunjung juga boleh memilih untuk melakukan pelbagai aktiviti lain seperti bermain futsal, tenis, bola sepak jalanan dan bola tampar pantai di premis tersebut. ‘‘Ibu bapa juga boleh berseronok dan mandi-manda tanpa perlu bimbang tentang anak-anak mereka kerana di sini kita turut menyediakan perkhidmatan ‘lifeguard’ bagi memantau keselamatan pengunjungnya.

‘‘Pengunjung ke taman tema air La Stella juga tidak perlu bimbang mengenai makanan kerana restoran La Stella Corina menjanjikan pelbagai jenis makanan yang boleh dibeli dengan harga berpatutan,” ujarnya. Tambahnya, La Stella juga bukan seperti kolam renang biasa. Ia turut mempunyai gelongsor baik bagi kolam orang dewasa mahu pun kanak-kanak selain air pancut yang keluar daripada cendawan buatan manusia.

Beliau berkata, taman tema air itu juga mampu memuatkan maksimum seramai 2,000 orang pada satu masa. Untuk menjadikan suasana lebih menarik pihak pengurusan juga menyediakan koordinator permainan bagi kumpulan pengunjung yang mahukan kelainan di tempat itu. Berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima La Stella, pihak pengurusan SHCC bercadang untuk menambah baik kemudahan sedia ada seperti penambahan gelongsor air dan tempat permainan di masa akan datang.

‘‘Bagi mereka yang berminat untuk mengunjungi La Stella terutama pada musim cuti sekolah dinasihatkan untuk menghubungi pihak kami terlebih dahulu bagi tempahan kerana dikhuatiri tempat sudah penuh. ‘‘Selain pembayaran individu, kami turut menawarkan pelbagai pakej menarik kepada pengunjung dan mereka yang berminat boleh menghubungi kami di talian 07-5588111 sambungan 312 dan 07-5566325 atau melayari laman web di www.starhillgcc.com,” katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.