Monday 2 May 2011

Port Dickson lokasi tetap Pesta Air Malaysia sehingga 2013

TELUK KEMANG 1 Mei - Selepas diiktiraf sebagai Bandar Pantai Peranginan Negara, Port Dickson terus dipilih menjadi lokasi tetap penganjuran sambutan Pesta Air Malaysia bermula tahun ini sehingga 2013. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, langkah itu selari dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan Port Dickson sebagai destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. ''Ingin saya maklumkan bahawa Kementerian Pelancongan telah meletakkan sambutan Pesta Air Malaysia di Port Dickson dalam kalendar acara kementerian selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada 2011, 2012 dan 2013.

''Saya amat berterima kasih kerana sambutan ini dipromosikan bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa," katanya selepas majlis Perasmian Pesta Air Malaysia Port Dickson 2011, di Pantai Cahaya Negeri, di sini, semalam. Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang turut berkenan meluangkan masa dengan rakyat jelata.

Menurut Mohammad Razi, meskipun lokasi serta tarikh penganjuran pesta tersebut telah ditetapkan kementerian, namun aktiviti pengisian sambutan perlu dipelbagaikan serta mempunyai kelainan setiap tahun. ''Ini penting bagi menarik minat lebih ramai pengunjung untuk menyertai program yang disediakan sepanjang penganjurannya. ''Tetapi yang paling menarik tahun ini dan buat julung kalinya, Tuanku berkenan untuk merasmikan pesta air ini selain turut serta memandu uji salah sebuah pacuan empat roda (4WD) di tapak demonstrasi," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohammad Razi ketika berucap ringkas pada majlis itu turut memberitahu, kerajaan melalui kementerian telah memperuntukkan RM57.5 juta bagi pelaksanaan projek baru termasuk penyelenggaraan Port Dickson dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). ''Kesemua projek tersebut telah pun siap dibangunkan dan kini menjadi lokasi tumpuan pelancong ke Port Dickson," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.