Sunday 11 March 2018

Kuala Terengganu ke arah bandar raya pelancongan


KUALA TERENGGANU 9 Mac - Bandar raya ini akan dicorakkan sebagai bandar raya pelancongan sejajar hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan kemasukan lebih ramai pengunjung dalam tempoh masa lebih panjang sebagaimana di pulau-pulau peranginan negeri ini.

Datuk Bandar, Samiun Salleh berkata, dalam usaha ke arah itu, peruntukan sebanyak RM100 juta akan dipohon daripada kerajaan negeri bagi penyediaan prasarana yang mencukupi, meningkatkan daya tarikan dan keselesaan untuk tempoh tiga tahun.  

"Tumpuan pelancong ke pulau-pulau peranginan sudah cukup padat, justeru kita mahu tumpuan mereka juga ke bandar raya ini dan bukan sekadar singgah. 
"Kita mempunyai pelbagai produk yang perlu diselaraskan dengan pengenalan sebagai bandar raya warisan pesisir air," ujarnya.

Katanya, inisiatif itu termasuk mengindahkan dan menaik taraf imej Kampung Losong di sini yang dikenali ramai sebagai pusat perniagaan keropok lekor yang cukup sinonim sebagai salah satu identiti negeri.

"Kampung Losong sudah ada tarikan tersendiri iaitu keropok lekor dan Rumah Warisan Haji Su, jadi kita merancang untuk mewujudkan galeri keropok lekor pula di situ di samping menyediakan kemudahan parkir yang selesa untuk para pengunjung.

"Selain itu, kita juga mahu mengekalkan keunikan penempatan di Kampung Sekati sebagai Kampung Warisan Melayu dengan gambaran suasana lebih baik," katanya kepada pemberita dalam Majlis Minum Petang Bersama Media di Kelab Eksklusif Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Buruk di sini semalam.

Yang hadir sama, Setiausaha MBKT, Wan Mohd. Zaki Wan Abdullah dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Wan Abdul Rahman Hayat.


Samiun yang diberi tanggungjawab menerajui pihak berkuasa tempatan itu sejak awal tahun ini berkata, bandar raya ini sudah pun dikenali sebagai salah satu bandar raya terbersih di negara ini yang boleh dipertingkatan tarikannya dengan kepelbagaian keunikan yang ada.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.