Saturday 22 July 2017

Tiga badak tarikan unik 
Taman Negara Kuala Tahan

Wan Amizan Wan Abdul Raza k (tiga dari kanan) beramah mesra dengan penduduk
kampung dalam majlis ramah mesra di Kampung Besul, Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 20 Julai – Tiga ekor badak di Taman Negara yang me­rupakan badak Sumatera terakhir di Semenanjung Malaysia antara produk pelancongan unik yang bakal menjadi tarikan utama di Taman Negara Kuala Tahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, tiga ekor haiwan hampir pupus yang berada di Pusat Biodiversiti Badak Taman Negara itu akan diperkenalkan sebagai antara pro­duk baharu Taman Negara.

“Sebenarnya kita telah mem­belanjakan hampir RM12 juta bagi membangunkan Pusat Biodiversiti Badak Sumatera dan perkara ini sengaja saya tidak hebahkan kerana menunggu jalan raya ke kawasan itu siap.

“Selepas ini kita akan memperkenalkan semula bahawa Je­rantut mempunyai pusat biodiversiti badak walaupun hanya ada tiga ekor tetapi membuktikan badak Sumatera masih ada di Taman Negara Kuala Tahan,” katanya selepas majlis ramah mesra di Kampung Besul di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Amizan, pusat biodiversiti badak bernilai lebih RM12 juta itu telah dibangunkan di kawasan seluas 160,000 hektar bermula dari Kuala Atok ke Gunung Tahan sejak empat tahun dahulu.

Katanya, apabila kemudahan jalan raya ke pusat berkenaan siap kelak, usaha mempromosikan kawasan itu akan dilakukan terma­suklah mengadakan simposium peringkat dunia mengenai badak Sumatera di Taman Negara.

“Setiap tahun ada pelbagai pihak datang dari Singapura, Eropah dan negara-negara luar mahu melakukan kajian tentang badak tetapi kerana kemudahan hendak masuk tidak ada, maka kajian tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Jadi kali ini apabila terbina jalan raya tersebut dengan pintu masuk khusus untuk pergi ke Kuala Atok, maka kawasan Pusat Biodiversiti Badak Sumatera itu akan kita perkenalkan sebagai salah satu pintu masuk ke Taman Negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, usaha berterusan akan dilakukan bagi mempelbagaikan lagi produk pelancongan Taman Negara Kuala Tahan seperti pendakian Gunung Bakar dan juga Safari Night.

Ujarnya, pintu masuk lama ke Taman Negara iaitu Kuala Tembe­ling juga akan dibangunkan dengan produk pelancongan baharu seperti ­river cruise dan juga tarikan pertembungan dua sungai iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Jelai.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.