Friday 7 July 2017

Gugusan pulau 
'permata laut' Johor

Suasana kedamaian dengan pemandangan menarik yang terdapat
di Batu-Batu Resort, Pulau Tengah, Mersing.


MERSING 6 Julai - Butiran pasir putih halus menghangatkan tapak kaki tatkala melangkah di sepanjang pantai-pantai di gugusan kepulauan Johor yang terletak di daerah ini.

Kejernihan air lautnya yang membiaskan warna firus membolehkan pengunjung melihat ikan-ikan kecil berenang di sekeli­ling terumbu karang di dasar laut.

Hempusan segar angin Laut China Selatan yang terbentang luas di hadapan mata pula meredakan kehangatan tropika gugusan pulau tersebut yang turut mendapat jolokan ‘Maldives Malaysia’ kerana keindahannya.

Pulau Rawa merupakan salah satu daripada enam kumpulan gugusan pulau di bawah Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) yang terdapat di daerah ini selain Pulau Tinggi, Pulau Aur, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar yang disifatkan sebagai 'permata laut Johor' kerana kemudahan dan keunikannya.

Selain keindahan alam semula jadi yang kaya dengan khazanah flora dan fauna, Pulau Rawa amat digemari pelancong asing khususnya dari Eropah kerana nilai ‘eksklusif' pulau berkenaan yang mengawal jumlah tetamunya.

Bukan bermakna terlalu eks­klusif untuk dikunjungi, namun langkah itu diambil pengurusan dua resort di pulau itu bagi memastikan tetamunya dapat mera­sai detik percutian yang tidak terlalu komersial sehingga mengorbankan keselesaan majoriti.

Selain mendaki puncak Rawa sambil menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam, pelancong juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti meneroka hutan, snorkling dan bermain gelongsor air di jeti pulau itu.

Begitu juga di Pulau Tengah yang mula mencipta tanda aras percutian mewah dengan hanya sebuah resort beroperasi di pulau berkenaan.

Istimewanya, penginapan villa di pulau ini mengangkat seni bina tradisional tanpa mengorbankan alam sekitar dan terbukti apabila terdapat pokok yang tidak ditebang sebaliknya turut menjadi struktur asas binaan.

Bagi mereka yang mencari percutian bajet, Pulau Besar dan Pulau Sibu adalah destinasinya menerusi rangkaian penginapan yang menawarkan harga berpatutan dan mengikut keperluan pelanggan.

Menariknya di pulau ini, pe­ngunjung juga boleh menikmati suasana kampung dengan berjalan kaki atau berbasikal sambil menyaksikan sendiri perusahaan sokongan pelancongan yang diusahakan penduduk asal pulau berkenaan.

Jangan terkejut apabila melihat ratusan keluang bergantu­ngan di atas pokok-pokok sekitar Pulau Besar ini yang ‘jinak’ dan tidak membahayakan.

Bagi kaki pancing, sudah pas­tinya Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Tinggi dan Pulau Besar adalah antara lokasi terbaik ter­utamanya yang ingin merasai ‘ren­tapan’ pelbagai hidupan marin.

Kekayaan flora dan fauna yang menjadi nadi bagi gugusan kepulauan di daerah ini tidak akan kekal sekiranya tiada langkah pemeliharaan dan pemuliharaan ke atas ekosistemnya.

Atas dasar itulah, pihak pe­ngurusan Batu-Batu Resort di Pu­lau Tengah mengambil inisia­tif mewujudkan pusat penetasan penyu atau Turtle Watch Camp (TWC) yang dikendalikan sekumpulan sukarelawan di pulau berkenaan.

Pusat penetasan penyu ini dibuka apabila penyelam mendapati reptilia tersebut sering menjadi mangsa pemburuan haram selain berdepan dengan pemangsa seperti biawak, tikus, babi hutan dan jerung.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.