Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pemi­lihan kedua-dua pelumba ber­kenaan dilihat tepat dalam me­ran­cakkan lagi usaha mempromosikan industri pelanco­­ng­an negeri terutama dalam kalang­an pelancong asing berikutan mereka dikenali di peringkat antarabangsa.
Beliau memberitahu, langkah pertama bagi menjayakan hasrat tersebut adalah menerusi pemakaian jersi yang tertulis TMT 2017 di samping pengibaran bendera pada setiap pertandi­­­n­gan yang disertai anak kelahiran Dungun dan Hulu Terengganu itu.
“Kita serba maklum Azizulhasni dan Fatehah selalu menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa, jadi apabila mereka memakai jersi dan mengibarkan bendera TMT secara tidak langsung dapat mempromosikan Terengganu.
“Apabila mereka pulang ke Terengganu, kedua-duanya bakal terlibat dalam siri pameran jelajah TMT 2017 secara berkala yang akan kita rancangkan kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Hi-Tea Penggiat dan Penaja Sukan serta Wakil Olimpik 2016 di sini semalam.
Sultan Terengganu, Sultan Mi­zan Zainal Abidin berkenan berangkat hadir dan menyampaikan insentif kepada atlet-atlet cemerlang melibatkan sumbangan wang tunai berjumlah RM340,000.
Azizulhasni menerima sebuah apartmen bernilai RM250,000 daripada kerajaan negeri disam­ping skim hadiah kecemerlangan bernilai RM20,000 atas kejayaannya dalam acara Keirin.
Antara penerima lain ialah empat atlet kelahiran Terengganu yang turut bertanding pada Sukan Olimpik dan Paralimpik iaitu Fatehah Mustafa (berbasikal), Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Mohd. Hafifi Mansor (angkat berat) serta atlet Paralim­pik, Mohamad Azwar Bakar (ping pong) yang masing-masing me­nerima RM10,000.
Selain itu, pendaki Gunung Everest, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri serta lapan pemain skuad Pasukan Hoki Terengganu (THT) iaitu Mohd. Shahrun Nabil Abdullah, Mohd. Fitri Saari, Faizal Saari, Muhammad Shahiram Zali, Muhammad Hafizuddin Othman, Wan Mohd. Hazrul Wan Nawi, Muhammad Amirul Mirza Rozi dan Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri pula dianugerahkan satu lot kediaman di daerah kelahiran masing-masing.