Wednesday 3 August 2011

Pasar Seni tarikan baru pelancong ke Kulim



AZIZAN Noordin (kiri) dan Badrulhisham Sulaiman (tengah) mendengar penerangan daripada Mohd. Lokman Hakim mengenai karya yang dipamerkan di Pasar Seni Kulim, baru-baru ini.


KULIM 2 Ogos - Kulim yang merupakan antara destinasi pelancongan di negeri ini kini dilengkapi dengan satu mercu tanda baru iaitu Pasar Seni.

Pemangku Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Azizan Noordin berkata, Pasar Seni yang terletak di Medan Usahawan itu mengandungi ruang pameran karya seni lukis yang berupaya menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, kebanyakan karya yang dipamer di Pasar Seni berkenaan berilhamkan keindahan semula jadi serta memaparkan corak kehidupan penduduk negeri Kedah.

"Pasar Seni ini merupakan pelengkap kepada pembangunan sektor ekopelancongan yang menepati ciri-ciri kelestarian alam sekitar di negeri Kedah.

"Ia merupakan tarikan baru kepada para pelancong yang sukakan seni sama ada lukisan, fotografi atau kraftangan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pasar Seni Kulim dan Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia yang disempurnakan Penolong Pegawai Daerah Kulim, Badrulhisham Sulaiman di sini, baru-baru ini. Hadir sama Pengarah Tourism Malaysia Kedah, Roslan Othman.

Menurut Azizan, Pasar Seni Kulim akan beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad dalam tempoh setiap dua minggu. "Antara badan-badan yang menyertai Pasar Seni ini ialah Angkatan Pelukis Kedah (APK), Tourism Malaysia Kedah, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Kraftangan Malaysia dan Koperasi Pekan Rabu," katanya. Beliau berharap dengan adanya tarikan terbaru itu, ia turut menjadikan destinasi sekitar Kulim seperti Tree Top Walk dan Arus Deras Sungai Sedim sebagai pilihan di kalangan pelancong.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.