Thursday 3 June 2010

Royal Jordanian kembali ke Malaysia



Tiga pramugari Royal Jordanian, (dari kiri), Faikratol, Nath Phan dan Oraib Abu Al Haija memperkenalkan perkhidmatan syarikat penerbangan itu pada Majlis Sambutan Ketibaan Pesawat Royal Jordanian buat pertama kalinya selepas tujuh tahun di KLIA, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Jun - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasarkan dua lagi syarikat penerbangan asing akan mengadakan perkhidmatannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala lumpur (KLIA) pada tahun ini.

Sekiranya persetujuan dicapai, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan syarikat yang beroperasi di KLIA kepada 62 buah, kata Pengarah Urusannya, Tan Sri Bashir Ahmad hari ini.

Bashir berkata, ketika ini, MAHB sedang menjalankan perbincangan dengan beberapa buah syarikat penerbangan untuk memulakan perkhidmatan mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menyambut penerbangan Royal Jordanian, di KLIA, hari ini.

Penerbangan Royal Jordanian menyambung kembali perkhidmatan ke Kuala Lumpur selepas terhenti selama tujuh tahun dan penerbangan pertama tiba di KLIA pada pukul 7.30 malam, melalui Bangkok, Thailand.

Royal Jordanian menawarkan perkhidmatan tiga kali seminggu ke Malaysia melalui Bangkok iaitu pada Isnin, Rabu dan Jumaat menggunakan pesawat Airbus 330.

Bashir berkata, pihaknya berharap syarikat penerbangan berkenaan akan menawarkan penerbangan terus dari Amman, Jordan ke Kuala Lumpur.

Sebelum ini, MAHB berjaya menarik dua lagi syarikat penerbangan dari Timur Tengah iaitu Oman Air dan Mahan Air.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Royal Jordanian, Hussein Dabbas berkata, keputusan untuk menyambung semula laluan ke Malaysia adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan di negara berkenaan dan menganggapkan Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia Tenggara.

Dabbas berkata, perkhidmatan ini akan memberi kelebihan dari segi ekonomi dan juga jaringan sosial kepada kedua-dua negara pada masa hadapan.

-utusan online.

1 comment:

  1. Tahniah kepada Malaysia Airports dan semua pihak yang telah bersama berusaha untuk Royal Jordanian kembali ke Malaysia. Semoga dengan penerbangan Royal Jordanian ini, sasaran 300,000 pelancong dari Asia Barat akan dapat dicapai pada tahun ini.

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.